Raya sudah menjelma dan kini tiba masanya untuk semua kaum keluarga berkumpul, berjumpa sanak saudara dan mula menunjuk-nunjuk barang yang baru mereka beli. Oleh kerana raya ini cukup-cukup menyamai masa gaji bulanan baru keluar, ramai orang akan membeli produk-produk yang mereka idamkan dan bertungkus-lumus menabungnya apatah lagi sanggup ikat perut untuk membelinya sejak awal tahun yang lepas.
Berita baiknya, kami menyediakan satu senarai mudah untuk menyenangkan anda menimbang apa anda yang patut dibeli ketika hari raya Aidilfitri 1432H kali ini. Oops! Nanti dulu, ia hanyalah cadangan daripada pihak Majalah Tech saja ya, diharapkan ia membantu anda menilai dan tidak membazir begitu saja. Senarai yang kami hidangkan mengikut segmen teknologi yang kerap diberi perhatian pengguna pada setiap kali musim perayaan.
Kamera
Olympus X-Z1
Nak kamera yang kompak tapi pada masa sama tidak mahu kualiti gambarnya terjejas seperti kamera digital biasa? Olympus X-Z1 boleh membantu anda. Sensor 10 megapikselnya serta lensanya yang laju (f/1.8 sehingga f/2.5) di samping kuasa zum yang tinggi (sehingga 5 kali) dalam satu reka bentuk yang kecil — betul! memang ini kamera yang anda nanti-nantikan.
TV
LG CINEMA 3D TVLW5700
TV ini adalah TV 3D pertama di dunia yang mempunyai teknologi kaca mata 3D pasif yang ringan, serta teknologi anti-kerdipan yang menjanjikan pengalaman 3D yang bekualiti tinggi.
Kamera video
Samsung Q10
Pengguna tangan kiri? Tangan kanan? Tak kisah dengan kamera video dari Samsung ini. Dengan rekabentuknya yang tidak memihak untuk mana-mana tangan, sesiapa sahaja boleh merakam video dengan mudah
Laptop
Lenovo X1
Kalau nak laptop yang nipis, Lenovo ada jawapannya. X1 sangat nipis ( lebih kurang 2cm tebal) tapi ia datang dengan pemproses Intel Core i5 yang menjanjikan prestasi yang tiada bandingan. Lenovo juga meletakkan teknologi mengecas bateri sebanyak 80% dalam masa 30 minit sahaja
Telefon pintar
iPhone 4
Telefon yang tidak asing lagi, iPhone 4 masih digemari ramai. Dengan beribu-ribu aplikasi (ataupun app) yang terdapat di kedai iTunes untuk dimuat turun, semua kehendak dan keinginan pengguna boleh dilakukan dengan app yang sesuai.
GPS
TomTom Go750
Selalu hilang jalan? Tak tahu selekoh atau simpang yang mana untuk masuk kampung ketika berziarah? Usah bimbang, TomTom ada jawapannya. TomTom Go 750 sesuai dipakai oleh sesiapa sahaja yang ingin mengembara di Malaysia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand. Pastinya anda tidak sesatlah!
Tablet
ASUS EeePad Slider
Nak tablet? Tapi tak nak beli barangan Apple? Kami ada cadangan — beli EeePad Slider dari Asus. Besarnya lebih kurang sama seperti iPad2, tapi terbina di dalam ialah papan kekunci yang mudah gelungsur atau 'slide' ke bawah skrin apabila tidak digunakan.
DLSR
Canon 1100D
Kalau mahukan kualiti gambar yang diambil lebih baik dari kamera kompak biasa — sila jenguk kamera DSLR Canon 1100D di kedai berhampiran anda. Dengan harga yang berpatutan dan kualiti gambar dari sensor 12 megapikselnya yang tinggi, gambar raya anda akan menjadi bualan setiap ahli keluarga anda!
