10 Lagu raya terbaik sepanjang zaman


15 Jul – Kini sudah hampir separuh perjalanan kita berpuasa dan beribadah di bulan Ramadan ini. Walaupun cuaca panas terik melanda, syukur ke hadrat Ilahi kerana limpahan kurnia dan rahmatnya kita dapat menempuh dugaan ini sepanjang berpuasa ini.

Suasana kemeriahan menyambut lebaran bakal terasa tidak lama lagi terutamanya di pusat membeli belah dan corong-corong radio serta siaran televisyen pastinya memutar dan menyiarkan lagu-lagu raya nyanyian selebriti tempatan.

Walaupun setiap tahun munculnya seleksi lagu Aidilfitri yang baru, namun lagu-lagu malar segar tetap menjadi pilihan dan boleh dikatakan terbaik sepanjang zaman.

Jom kita terokai lagu-lagu raya Aidilfitri yang menjadi pilihan TUPAI menjelang lebaran kali ini!

Dendang Perantau – P.Ramlee
Lagu dendangan bintang lagenda tanah air Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dicipta sekitar awal tahun 1960an ini merupakan di antara lagu yang masih popular dan diminati sehingga kini. Walaupun berirama klasik dan puitis liriknya, namun lagu ini tetap menjadi pujaan setiap golongan veteran mahupun anak-anak muda.

Aidilfitri – Sanisah Huri
Siapa yang tidak kenal pada lagu raya ini, mendengar muzik permulaannya sudah tahu siapa gerangan penyanyi dan apa lagu yang bakal didengari nanti. Tidak mustahil andai lagu ini masih lagi popular pada zaman cucu cicit kita kelak.

Musafir di Aidilfitri – S. Jibeng
Nyanyian syahdu menerusi lagu ini sering menjadi peneman buat mereka yang tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga di tanah air. Golongan pelajar kebiasaannya enggan sama sekali memilih lagu ini untuk dimainkan kerana bakal membuatkan mereka berjujuran air mata mengenangkan orang tersayang yang jauh di mata.

Selamat Hari Raya – Ahmad Jais
Sebuah lagi koleksi lagu raya yang menjadi di antara lagu wajib diputarkan setiap kali musim lebaran. Walaupun berentak perlahan, namun cukup berkesan di jiwa mengenangkan keluarga dan sahabat handai yang jauh di kampung halaman.

Seloka Hari Raya – Uji Rasyid & Hail Amir
'Mood' hari raya pastinya datang secara tiba-tiba apabila anda mendengar lagu nyanyian pasangan duet popular sekitar 80an ini. Paduan suara Uji Rasyid dan Hail Amir ini mampu membawa anda mengimbas kembali kenangan menyambut Aidilfitri sewaktu kecil dahulu.

Suasana Hari Raya – Anuar Zain & Ellina
Lagu duet yang dinyanyikan oleh penyanyi lelaki pujaan ramai wanita iaitu Anuar Zain dan Ellina. Anuar Zain merakamkan lagu ini ketika berumur 12 tahun bersama Ellina yang juga merupakan kakak kepada Eliza AF3. Lagu raya kanak-kanak ini juga disukai ramai kerana rentaknya yang menarik dan bersahaja.

Menjelang Hari Raya – DJ Dave
Walaupun ratusan lagu raya membanjiri muzik tempatan, namun lagu malar segar nyanyian DJ Dave ini sukar dilupakan walaupun sudah lama dirakamkan. Walaupun ramai artis muda kerap menyanyikan semula lagu ini dengan pelbagai versi, namun lagu dan irama asal tetap menjadi pilihan.

Balik Kampung – Sudirman
Keriangan pulang ke kampung halaman sebelum menyambut lebaran, pastinya tidak lengkap jika tidak dimainkan di radio kenderaan anda. Perasaan teruja dan ceria mengiringi perjalanan ke kampung masing-masing membuat diri tidak sabar untuk bertemu ahli keluarga dan sanak saudara yang menanti kepulangan.

Sesuci Lebaran – Siti Nurhaliza
Walaupun lagu ini dihasilkan pada era alaf baru, namun lagu nyanyian penyanyi wanita nombor satu Malaysia ini menjadi popular dan diminati ramai kerana melodi dan liriknya yang kena dengan jiwa pendengar. Berentak tradisional namun iramanya yang rancak menjadikannya ianya mesra pendengar dan liriknya yang mudah untuk diingati.

Satu Hari di Hari Raya – M.Nasir
Lagu raya berentap pop dan agak 'catchy' ini turut menjadi pilihan TUPAI kerana walaupun saban tahun kita dihidangkan dengan lagu yang sama, namun lagu nyanyian dan ciptaan sifu M.Nasir ini tetap tidak jemu didengar walaupun dimainkan berulang kali.