KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Nasib 49 anak yatim serta kelainan upaya
warga Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) hari ini mendapat
perhatian Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia
(Puspanita) KPKK.
Mereka menerima bantuan dan sumbangan berupa duit raya, kuih-muih dan
pakaian daripada Puspanita KPKK sempena perayaan Aidilfitri yang menjelang tiba.
Isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais
Yatim, Datin Seri Maznah Rais berkata ini merupakan satu usaha murni bagi
memastikan kebajikan anak-anak yatim serta kurang upaya mendapat pembelaan.
"Anak-anak ini merupakan anak-anak kepada ahli Puspanita KPKK yang bertugas
di beberapa jabatan dan agensi antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama), Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Jabatan Filem Negara Malaysia.
"Saya harap sumbangan ini dapat memberi sinar baru dan keceriaan kepada
mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya selepas majlis
Khatam al-Quran dan Sumbangan Kepada Anak-Anak Yatim serta Kelainan Upaya di
sini, hari ini.
-- LAGI
PUSPANITA-SUMBANGAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Turut hadir Pengerusi Puspanita, Datin Seri Rohaya Harun.
Maznah yang merupakan Penaung Puspanita, berharap sumbangan itu dapat
membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga pada Aidilfitri ini.
Terdahulu, beliau bersama kira-kira 200 anggota Puspanita mengadakan majlis
khatam al-Quran yang merupakan acara tahunan persatuan pada bulan
Ramadan.
Katanya acara ini merupakan kemuncak daripada majlis tadarus al-Quran yang
diadakan bermula 2 Ogos lepas di setiap jabatan serta agensi di bawah KPKK
antaranya Bernama, ANM, Jabatan Penyiaran Malaysia dan Perbadanan Kemajuan
Kraftangan Malaysia.
Mereka turut menunaikan solat Dhuha dan Tasbih secara berjemaah.
-- BERNAMA
NMA HS NM

