Ahli keluarga tahu berita pesawat MAS hilang menerusi Facebook

China tangguh penghantaran panda kerana kesibukan tangani isu MH370

Anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing awal hari ini mendapat berita mengenainya melalui Facebook.

Adik kepada seorang daripada penumpang pesawat itu Mohd Lokman Hamid, 31, berkata kakaknya Norli Akmar Hamid, 33, dan pasangannya, Mohd Razahan Zamani, 23, merancang untuk ke Beijing sejak awal tahun ini dan dia hanya mengetahui pasangan itu berlepas ke sana melalui status Facebook kakaknya tengah malam tadi.

"Kakak dan abang ipar saya dah lama rancang nak pergi bercuti ke Beijing," kata kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Kokitab, Gong Badak di Kuala Terengganu hari ini.

Penerbangan MH370 itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi ini.

Katanya dia mengetahui berita itu juga melalui status yang dimuat naik seorang daripada rakannya di Facebook awal pagi ini sebelum memutuskan untuk menghubungi MAS untuk perkembangan lanjut.

"Masa saya mula-mula telefon MAS belum dapat sahkan status tersebut (kehilangan pesawat MH370) tapi dia (MAS) cakap akan telefon semula untuk pengesahan dan bila dah terima pengesahan hati saya rasa tak menentu dan saya cuba telefon mak dan adik-beradik lain yang menetap di Kuala Lumpur.

"Macam-macam spekulasi saya tengok berkaitan kehilangan pesawat itu. Ada yang kata dah mendarat kat Nanning (China), ada kata sebab masalah GPS (sistem penentu kedudukan global) dan macam-macam lagi kini saya cuma doakan mereka berdua serta penumpang-penumpang lain berada dalam keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, Mohd Lokman berkata percutian kakaknya itu boleh diibaratkan sebagai bulan madu mereka yang dirancang selepas kakak saya mengalami keguguran sebelum ini," katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik itu.

Pasangan berkenaan merupakan sebahagian daripada 227 penumpang termasuk dua bayi serta 12 anak kapal dalam pesawat itu. – Bernama, 8 Mac, 2014.