Ahli Umno demonstrasi depan PWTC, gesa Najib pertahankan kalimah Allah

Ratusan ahli Umno Bahagian Pasir Salak berdemonstrasi di hadapan bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mempertahankan isu kalimah Allah.

Menurut Pengerusi Tetap Umno Bahagian Pasir Salak, Ramli Yusuf berkata mereka akan turut menghantar memorandum sebagai memberi sokongan penuh kepada perdana menteri dalam mempertahankan kalimah Allah daripada terus dipermainkan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain melaungkan slogan "Hidup Umno", "Selamat Melayu", "Selamatkan Islam dan Allah", peserta demonstrasi itu turut menjulang sepanduk yang tertera perkataan "Save Kalimah Allah untuk Umat Islam", "Hapuskan Petualang Negara " juga " Kembalikan ISA", "Kalimah Allah khusus Untuk Agama Islam Bukan Trinity Seperti Tuhan Agama Lain" dan "Melayu Jangan Tak Faham Sejarah".

Memorandum itu dikatakan bakal diserahkan oleh Ketua Umno Bahagian Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman sebaik sahaja selesai mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Semalam Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata mesyuarat MT Umno antaranya akan membincangkan dialog yang ditawarkan Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan isu-isu perkauman.

Selain daripada melaungkan slogan "Hidup Umno", "Selamatkan Islam dan Melayu" kumpulan demostrasi tersebut juga turut membaca ikrar menegaskan pendirian untuk mempertahankan kalimah Allah.

"Kami akan bersama-sama mempertahankan kalimah Allah demi memelihara soal, aqidah, maruah dan hak yang tidak boleh dipertikaikan hanya untuk umat islam.

"Kami akan terus memelihara dan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi dan persekutuan dan tidak seinci pun berundur dari perjuangan suci ini."

Dalam ucapan Ramli juga, beliau mengharapkan kebijkasanaan pemimpin Umno dan juga perdana menteri dalam mempertahankan isu kalimah Allah.

"Kita percaya kepada perdana menteri, kepada kerajaan supaya dapat menyelesaikan hak penggunaan kalimah Allah bagi umat Islam di negara secara bijaksana.

"Kami tidak akan berhenti sehinggalah isu ini diselesaikan, kalau tidak berjaya hari ini, kita tetap akan membuat langkah seterusnya," katanya sambil disambut dengan sorakan daripada peserta perhimpunan.

Sejurus selepas mesyuarat MT Umno selesai, Najib kelihatan keluar menuju ke arah himpunan demostrasi bagi menerima memorandum tersebut.

Terdahulu semasa sidang media, Najib mengumumkan MT Umno hari ini menyatakan sokongan terhadap pendirian kerajaan dalam mempertahankan kedudukan agama Islam, termasuk kalimah Allah.

Beliau berkata MT juga mengambil maklum resolusi 10 perkara yang telah dipersetujui kerajaan pusat.

Bagaimanapun kata perdana menteri, resolusi itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri. – 24 Januari, 2014.

Selain membawa sepanduk, ratusan ahli Umno Bahagian Pasar Salak melaungkan pelbagai slogan di luar PWTC. – Gambar The Malaysian Insider oleh Diyana Ibrahim, 24 Januari, 2014.
Selain membawa sepanduk, ratusan ahli Umno Bahagian Pasar Salak melaungkan pelbagai slogan di luar PWTC. – Gambar The Malaysian Insider oleh Diyana Ibrahim, 24 Januari, 2014.