Ahmad Said perlu batalkan ekspedisi ke Antartika, fokus bantu rakyat miskin, kata PAS

Ahmad Said tidak hadir sidang DUN dengan kebenaran

Adun Terengganu menggesa Datuk Seri Ahmad Said (gambar) agar segera membatalkan misi ke Antartika bagi membolehkan Menteri Besar Terengganu itu memfokuskan kepada kemelut rakyat yang tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

Adun Batu Burok yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata Ahmad tiada hak menyalahgunakan wang rakyat dengan alasan ianya “lawatan saintifik” kerana Terengganu merupakan antara negeri termiskin dan ramai di kalangan rakyatnya yang hidup dalam serba kedaifan.

“Beliau seharusnya mengenepikan kesombongan dan keangkuhan sebagai menteri besar yang berkuasa sebelum rakyat Terengganu menurunkan beliau dengan kuasa rakyat.

“Saya menggesa Ahmad segera membatalkan ekspedisi ke Antartika dan kembali memberi tumpuan kepada kemelut rakyat yang berdepan dengan kenaikan kos hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan semalam mengumumkan lawatan ke Antartika itu anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Kenyataan itu menyebut bahawa lawatan kerja berkenaan bertujuan membantu kerajaan dalam menubuhkan pusat kajian bersama Instituto Antarctico Chileno.

“Lawatan ini membantu Malaysia dalam kajian perubahan iklim yang sejak akhir-akhir ini menjadi semakin tidak menentu.

“Lawatan eksplorasi saintifik ini merupakan lawatan susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke Antartika pada Oktober 2011 dalam usaha melihat lebih banyak universiti tempatan terlibat dalam kajian di sana,” menurut kenyataan itu.

Dr Syed Azman berkata pemergian Ahmad bersama Exco kerajaan Terengganu dilihat tidak lain hanyalah satu ekspedisi makan angin di Antartika menggunakan wang rakyat sewaktu rata-rata rakyat Terengganu kini hidup “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

Katanya, bajet pentadbiran kerajaan negeri di bawah Ahmad bagi penggal kedua mencecah hampir RM12 bilion merupakan bajet tertinggi di Semenanjung Malaysia tetapi rakyatnya rata-rata miskin.

“Rata-rata rakyat Terengganu kini amat memerlukan bantuan bagi menampung kehidupan harian. Terlalu ramai nelayan, petani dan buruh di Terengganu yang hidup dalam serba kedaifan dan serba kekurangan.

“Ahmad bukan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi atau Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Beliau adalah menteri besar Terengganu yang sepatutnya menjaga kebajikan rakyat dan bukannya turut menghabiskan wang rakyat Terengganu membuat kajian di Antartika,” katanya.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua hari ini turut mempersoalkan rasional di sebalik lawatan 15 hari ke Antartika yang akan diketuai oleh Ahmad.

Beliau menyifatkan lawatan kerja Ahmad ke Antartika satu “pembaziran besar” yang tidak bertepatan dengan keadaan rakyat yang sering diingatkan untuk “mengikat perut”.

Pua berkata Ahmad tiada kaitan dalam lawatan itu selaku menteri besar dan tidak ada pelaburan asing yang akan dibawa pulang.

Katanya, kos perjalanan ke sana menelan belanja minimum RM1 juta bagi delegasi 20 orang termasuk penerbangan dan tempat tinggal.

“Ahmad tiada hak menyalahgunakan wang rakyat dengan lawatan sedemikian apabila Terengganu masih merupakan negeri termiskin selepas Perlis dan Kelantan.

“Ahmad juga tidak boleh memberi alasan meragukan seperti mana bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo ke Disneyland bagi mengkaji taman tema dengan mengunjungi Mickey Mouse dan rakan-rakan,” katanya. – 17 Januari, 2014.