Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, Aug 29 — Aktivis seni dan politik, Faisal Mustaffa hari ini telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana memiliki buku tulisan Irshad Manji yang berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta yang telah diharamkan oleh kerajaan.
Menurut Faisal (gambar), beliau telah ditahan pada jam 10 pagi tadi.
“Saya ditahan kerana saya menjawab ‘saya akan jawab di mahkamah’, sebab itu mereka mahu mendakwa saya atas Seksyen 215 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 kerana tidak mahu bekerjasama,” katanya lagi.
Menurut peguamnya, Afiq Noor, beliau sedang berbincang dalam proses ikatjamin.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengkritik tindakan JAIS kerana menahan Faisal Mustaffa.
“Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menahan aktivis seni-politik Faisal Mustaffa kerana memiliki buku tulisan Irshad Manji berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta yang diharamkan oleh kerajaan.
“Tindakan JAIS jelas sekali bersifat dangkal dan semberono serta memberikan gambaran yang buruk terhadap Islam — seakan-akan agama Islam bersifat anti-ilmu dan merendahkan kemampuan berfikir umatnya.
“Tindakan ‘keras’ JAIS ini juga bakal mewujudkan persepsi negatif terhadap institusi penguatkuasaan agama yang kini dilihat bersikap autokratik terhadap kegiatan keilmuan di kalangan anak muda yang cenderung berfikiran kritis,” kata Najwan Halimi, Timbalan Ketua Penerangan AMK Malaysia merangkap Ketua Penerangan AMK Selangor.
JAIS sebelum ini merampas buku kontroversi itu di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Julai lalu dan disoal siasat pada hari yang sama.
Kementerian Dalam Negeri pada 24 Mei lalu mengumumkan pengharaman Allah, Kebebasan dan Cinta dan versi Inggeris, Allah, Liberty and Love, atas alasan mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah.
“Sebagai badan yang membawa imej dan identiti Islam, JAIS seharusnya bergerak secara lebih progresif dan aktif mewacanakan Islam serta memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan umat Islam khususnya di negeri Selangor,” kata Najwan lagi.
Sehubungan itu, AMK menggesa JAIS agar menghentikan tindakan jumud sebegini yang memangsakan ilmu dan pencinta buku sebagai ‘penjenayah’.



