KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana
diramal berlaku di Terengganu, Pahang dan Johor selama tiga hari bermula Jumaat
ini, yang boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan rendah.
Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini menyebut hujan lebat
dijangka dialami di beberapa daerah di Kemaman, Terengganu; Pekan, Rompin dan
Kuantan, Pahang; dan di Mersing, Kluang dan Kota Tinggi; Johor.
Selain itu angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam
dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Tioman, Johor Timur,
Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan manakala ombak setinggi hingga 4.5 meter
juga dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.
Menurut kenyataan itu keadaan angin kencang dan laut bergelora ini amat
berbahaya kepada bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Jabatan itu berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60 kilometer
sejam serta ketinggian ombak melebihi 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan
Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga
Jumaat ini dan berbahaya bagi aktiviti perkapalan.
Sementara itu amaran turut dikeluarkan bagi aktiviti perkapalan di kawasan
perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Sarawak,
Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Reef
South dan Bunguran dijangka berterusan sehingga Jumaat ini ekoran angin kencang
Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam serta ombak mencapai sehingga
4.5 meter.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini amat berbahaya kepada semua
aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
-- BERNAMA
MAF RV ROS

