Anak muda hanya tentang pimpinan atasan, bukan Umno, kata Dr Mahathir

Pemuda Umno Wilayah rayu Dr M kembali sokong Najib

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mendedahkan hari ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak semua anak muda menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, mereka menentang pimpinan atasan Umno, BN dan kerajaan, kata bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu dalam blognya.

Katanya, perkara itu dinyatakan sendiri oleh Dr Mahathir selepas pertemuan pada 19 September baru-baru ini dengan dua blogger, salah seorangnya bekas menteri.

"Beliau berkata bukan semua anak muda Melayu menentang Umno dan bukan semua anak muda bukan Melayu menentang BN.

"Mereka menentang kepimpinan atasan Umno, BN dan kerajaan. Malah mereka juga membangkitkan isu isteri pimpinan atasan," kata Kadir yang menulis mengenai hasil perbincangan di dalam pertemuan tersebut.

Kadir juga mendedahkan kandungan surat kritikan dan penarikan sokongan oleh Dr Mahathir kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang banyak menekankan isu yang dibawa oleh orang ramai.

"Seminggu sebelum tulisan blognya menarik balik sokongan kepada Najib, beliau menggariskan beberapa punca kegagalan dan menegaskan tidak dapat lagi menyokongnya," kata Kadir.

Bagaimanapun surat yang dihantar kepada Najib tidak dipandang berat, sebaliknya dia digesa supaya menariknya.

Dr Mahathir tidak menyangkal Najib yang juga presiden Umno itu kuat, bagaimanapun kedudukan partinya sendiri lemah, kata Kadir.

"Dr Mahathir berkata beliau sudah lakukan tugasnya dan terpulang kepada Umno dan orang ramai untuk membuat keputusan mengenai masa depan PM, tetapi beliau tidak percaya Umno akan bertindak ke atas presiden mereka.

"Presiden Umno mungkin kuat tetapi parti lemah," katanya.

Kadir juga berkata Dr Mahathir kecewa dengan sikap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan masuk campur menegur pentadbiran Najib.

"Cakap-cakap mengatakan Muhyiddin letih dan tidak berminat untuk menjadi perdana menteri adalah tidak memberangsangkan.

"Muhyiddin sepatutnya berhenti daripada mengatakan letih dan ingin bersara. Beliau sepatutnya bangkit menyatakan suara ahli Umno biasa, khususnya, dan suara orang Melayu, amnya," kata beliau.

Muhyiddin bersama Dr Mahathir antara dua watak yang bertanggungjawab menjatuhkan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga memaksa peletakan jawatannya pada 2009 dan digantikan dengan Najib, sementara Muhyiddin diangkat menjadi timbalannya.

Semasa desakan supaya Abdullah meletak jawatan, Dr Mahathir juga mengambil keputusan drastik keluar daripada Umno tetapi kemudian menyertainya semula selepas berakhir pentadbiran Abdullah.

Kini, Dr Mahathir dilihat cuba mengulangi sekali lagi episod politik sama.

Bagaimanapun, Muhyiddin dilihat tidak berminat dan parti tidak mempunyai calon yang layak untuk menggantikan Najib yang memperoleh keputusan lebih buruk berbanding Abdullah selepas Pilihan Raya Umum 2013 lepas. – 26 September, 2014.