Apam manis penyeri lepas berbuka

 

Bagi sesetengah orang, ia dipanggil apam lenggeng tetapi di celah kota, ramai yang mengenalinya sebagai apam manis. Sama dengan nama akhirnya, rasa manis memang menjadi tarikan ditambah lemak yang menyelerakan.

Pada kebiasaannya ia dihasilkan daripada beras kisar tetapi anda tidak perlulah ikut 100 peratus kerana ia memerlukan masa yang agak lama untuk merendam beras tersebut kemudian mengisarnya sampailah ke proses memeram.

Itu kalau nak buat sendiri, kalau malas ke bazar Ramadhanlah kita. Dalam banyak-banyak gerai tersebut, mesti ada satu dua yang menjual apam manis.

Ada yang membuatnya dengam merendam beras, nasi yang baru dimasak dan ditambah dengan sagu biji.

Selain itu, terdapat juga campuran tepung beras, yis kering dan air selain santan untuk menjadikan rasanya lemak.

Tambah sedikit gula yang dipukul bersama telur untuk rasa yang manis. Letak juga sedikit garam.

Ramai penjual mengatakan apam manis nampak mudah dibuat tetapi sebenarnya prosesnya kadang-kadang mengambil masa semalaman terutama jika anda mahukan kualitinya benar-benar menepati citarasa pelanggan.

Campuran yang disebatikan benar-benar menjadikan apam manis popular bukan saja ketika berpuasa malah ada yang menjadikannya makanan ketika hari raya.