APMM tidak dapat sahkan rakit penyelamat daripada MH370, pencarian buntu

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak dapat mengesahkan rakit penyelamat yang dikatakan ditemui di Port Dickson adalah daripada MH370 yang hilang.

Setakat ini, APMM tidak dapat memberi sebarang komen mengenai penemuan tersebut, malah Malaysia Airlines (MAS) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) belum memberi sebarang pengesahan.

"Kami tidak menerima sebarang pengesahan daripada MAS dan DCA.

"Pengesahan perlu dibuat oleh pihak berwajib, iaitu MAS dan DCA," kata Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish pada sidang media di pangkalan APMM di Pasir Puteh, hari ini.

Mohd Amdan bagaimanapun tidak menafikan APMM di Melaka melihat rakit tersebut tetapi gagal membawanya naik ke atas kapal.

"Bot yang menuju ke lokasi rakit dikatakan ditemui cuba bawa naik, tapi ia tiba-tiba tenggelam," katanya.

Usaha cuba membawa naik tersebut gagal kerana tidak mempunyai kelengkapan mencukupi dan ia terlalu berat.

"MAS sendiri perlu mengesahkan sama ada objek itu milik mereka atau tidak," katanya dan memaklumkan masih menunggu pengesahan MAS.

Terdahulu, The Malaysian Insider melaporkan Nelayan Port Dickson dakwa jumpa objek menyerupai rakit penyelamat pesawat ketika menangkap ikan, kira-kira 10 batu nautika dari pantai Port Dickson tengah hari semalam.

Anggota APMM memantau skrin radar dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 di perairan Malaysia. – Gambar sumbangan APMM.
Anggota APMM memantau skrin radar dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 di perairan Malaysia. – Gambar sumbangan APMM.

Amdan berkata, pencarian udara dan lautan meliputi hampir semua sektor tetapi masih gagal menemui sebarang petunjuk.

"Kita sudah pantau semua, boleh dikatakan hampir 100% perairan Laut Cina Selatan di mana meliputi tempat pesawat merentasi.

"Kita periksa sepenuh perhatian, kapal-kapal kita juga memantau di sektor yang sudah disiapkan di mana tiada penemuan baru mengaitkan pesawat hilang itu," katanya.

Beliau juga tidak menolak keperluan merangka strategi baru perlu diatur untuk mencari MH370 yang hilang secara misteri.

"Kita perlu fikirkan langkah seterusnya, apa tindakan yang perlu kita ambil kerana setiap tempat yang kita cari sekarang ini tidak mendatangkan apa-apa hasil," katanya.

Rakit keselamatan yang ditemui nelayan dan ditarik untuk dibawa kepada pegawai APMM, hari ini.
Rakit keselamatan yang ditemui nelayan dan ditarik untuk dibawa kepada pegawai APMM, hari ini.

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA di Sepang, pada jam 12.41 pagi Sabtu.

Sementara itu, misi mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima masih gagal menemui petunjuk baru.

Beberapa negara turut menyertai operasi, antaranya Jepun, China, Singapura dan Amerika Syarikat.

Misteri kehilangan pesawat MH370 masih menjadi tanda tanya. – 12 Mac, 2014.