GEORGE TOWN, 14 Ogos (Bernama) -- Peningkatan asas bakat adalah penting
untuk menyokong pelaburan baharu dan membolehkan golongan muda negara untuk
mengambil peluang nilai tambah hasil Program Transformasi ekonomi (ETP).
Ketua pegawai eksekutif Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) Johan
Mahmood Merican berkata terdapat usaha berterusan oleh kerajaan dan usahasama
awam swasta untuk meneruskan agenda bakat.
"Apabila pelaburan baharu masuk, kita boleh melatih bakat dari universiti
tempatan serta mengambil peluang baru ini," katanya hari ini.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil oleh
Agilent dan Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia.
Acara itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop.
Sementara itu, Presiden Agilent Technologies untuk Malaysia dan Singapura,
Datuk Gooi Soon Chai berkata bakat amat penting dalam menyokong peralihan negara
ke arah ekonomi nilai tinggi.
Beliau berkata Agilent akan terus melabur di Malaysia dan bangunan baru
miliknya di lebuhraya pantai akan disiapkan menjelang akhir tahun untuk
berkembang dalam bidang sains kehidupan dan bioteknologi.
-- BERNAMA
TCT AS NHZ

