GEORGE TOWN, 10 Ogos (Bernama) -- Dialog Antara Agama bagi Keamanan Asia
Tenggara mahu Asean memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar agar tindakan
undang-undang dapat diambil bagi menyelesaikan isu pembunuhan umat Islam
Rohingya.
Pengerusinya Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata tekanan itu perlu supaya umat
Islam Rohingya tidak terus tertindas dengan kekejaman kerana pembunuhan
merupakan satu tindakan tidak berperikemanusiaan dan ia tidak dibenarkan dalam
mana-mana agama.
"Selain itu umat Islam Rohingya juga tidak diiktiraf kewarganegaraannya
serta dinafikan hak mereka dalam menjalani kehidupan dengan segala kemudahan
pendidikan, kesihatan, sosial, ekonomi dan kebebasan kepercayaan agama,"
katanya pada sidang media mengenai isu Rohingya di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan Myanmar juga harus digesa supaya menyelesaikan
status kewarganegaraan umat Islam Rohingnya.
"Mereka hidup seperti pendatang di negara sendiri, sebenarnya mereka juga
berhak untuk mendapat layanan berdasarkan hak asasi manusia dan bukan
sebaliknya," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga bercadang mengusulkan kepada kerajaan
Myanmar supaya membenarkan bantuan kemanusiaan daripada badan bukan kerajaan
(NGO) di Asia Tenggara untuk masyarakat Islam Rohingya.
-- BERNAMA
PKBR LIB RHM

