Ayam Golek Kotak Tip Top!

Setiap kali menjelang ketibaan Ramadan, gerai ayam golek yang diusahakan peniaga di bazar pasti memikat selera dengan pusingan 5 hingga 6 ayam yang dicucuk dalam satu besi berpusing menunggu masak.

Kalau dulu, ayam dipanggang dengan bekas seakan tong yang diubahsuai menjadi dapur dengan arang batu menghasilkan api membakar ayam, kini cara memasak ayam golek di bazar mempunyai teknik baru dikenali 'Ayam Golek Kotak'.

Ia menggunakan bekas khas tertutup yang dikatakan memudahkan ayam untuk dimasak selain menjadikan persekitaran lebih bersih.

Selain ayam percik, ayam panggang kotak kini menjadi rebutan terutama ketika hari pertama berbuka dengan rasanya tersendiri berbeza daripada ayam percik yang berkuah. Rata-rata peniaga berkata ayam golek kotak yang baik sudah diperam dengan rempah khas kemudian dicucuk dalam besi sebelum disapu minyak

Ada yang menggunakan arang kayu di dalam bekas tersebut dan ada juga yang menggunakan kaedah dapur elektrik bagi menghasilkan hawa panas untuk memanggang ayam berkenaan sehingga masak. Selalunya proses memanggang ayam ini mengambil masa dua jam sebelum boleh dijual. Setiap bekas dengan mampu membakar antara 20 hingga 30 ekor.

Aroma bau ayam panggang memang menyelerakan. Dari jauh sudah boleh menghidunya sehingga hilang bau dari makanan lain yang dijual di gerai-gerai lain yang berada di sekitar. Ayam golek memang antara menu wajib ketika berbuka dengan pilihan seekor penuh atau setengah ekor. Lebih enak jika dimakan bersama keluarga ketika berbuka.

Setakat ini, penulis sudah melihat dan mencuba ayam golek di tiga lokasi yang mempunyai rasa yang enak iaitu di Bangsar, Seksyen 13 Shah Alam dan Kampung Baru.

Harga ayam bersaiz besar kira-kira RM15 hingga RM20 seekor dan yang kecil antara RM10 hingga RM13. Pembeli juga dibekalkan dengan sos khas bagi menambahkan keenakan ketika menjamu selera semasa berbuka.

Kalau anda berada di gerai yang menjualnya, lelehan minyak dari ayam yang jatuh memang mengiurkan dengan cara memasak yang tidak keterlaluan memberikan rasa sedap tidak terhingga.