Azam Samad lawan Ahmad Sohaimi di Sungai Limau

Ketua Pemuda PAS Jerai, Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau malam tadi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini bermakna, Azam akan berdepan dengan Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi Lazim yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) petang semalam.

Ahmad Sohaimi diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi BN di Bilik Gerakan BN bagi PRK DUN Sungai Limau di Sungai Lentang, Sungai Limau.

Ketika memberikan ucapan sulung selepas diumumkan sebagai calon, Azam seorang bekas guru berkata, beliau akan meneruskan agenda bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Azam berkata, beliau berharap semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Muhyiddin ketika mengumumkan pemilihan calon BN berkata, pemilihan Ahmad Sohaimi, 52, adalah berdasarkan kelebihan beliau yang mempunyai kelulusan tinggi selain pernah terlibat dalam parti termasuk kini sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai dan aktiviti kemasyarakatan.

Pensyarah UPSI, Ahmad Sohaimi Lazim, calon BN bagi PRK DUN Sungai Limau.
Pensyarah UPSI, Ahmad Sohaimi Lazim, calon BN bagi PRK DUN Sungai Limau.

Katanya, pemilihan dibuat berdasarkan penilaian oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, beliau sendiri dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

"Mohon kerjasama pengundi untuk memberi peluang kepadanya. Jika terpilih segala perkara yang perlukan perhatian akan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman itu.

Ahmad Sohaimi, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah, Azizan kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. – 22 Oktober, 2013.