Advertisement

Azhar diarah terus berkhidmat hingga siasatan selesai, kata MRT Corp

Azhar diarah terus berkhidmat hingga siasatan selesai, kata MRT Corp

Lembaga Pengarah MRT Corp memutuskan tidak menerima peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azhar Abdul Hamid susulan kejadian maut membabitkan tiga pekerja Bangladesh di tapak pembinaan MRT minggu lepas.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, ia mengatakan Azhar diarahkan terus menerajui MRT Corp dan mengetuai proses siasatan ke atas kejadian di Kota Damansara tersebut.

"Lembaga hanya akan menimbangkan peletakan jawatannya selepas siasatan selesai dan hasil siasatan diumumkan," kata kenyataan itu hasil perbincangan mesyuarat Lembaga Pengarah semalam.

MRT Corp menegaskan prestasi Azhar sepanjang menjadi CEO sejak 1 September 2011 memuaskan dan syarikat itu berada di landasan yang betul.

"Buktinya, projek MRT di Lembah Klang mencapai kemajuan yang baik dan sudah siap 50% lebih cepat daripada yang dijadualkan.

"Lembaga juga mendapati pengurusan kewangan projek tersebut boleh dipuji," katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan Tan Sri Dr Ali Hamsa itu dihadiri semua ahli lembaga iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff, Datuk Sri Shahril Mokhtar, Datuk Che Mokhtar Che Ali dan Azhar.

Mengenai siasatan ke atas insiden tersebut, MRT Corp mengatakan ia sedang dijalankan sekarang dan dijangka lengkap pada September ini.

MRT Corp akan lakukan siasatan menyeluruh memastikan punca kejadian selari dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 19 Ogos yang mahukan siasatan penuh dan lengkap.

Katanya, siasatan akan menentukan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan itu dan ia akan diikuti dengan tindakan undang-undang sewajarnya yang akan diambil terhadap pihak yang bersalah. – 26 Ogos, 2014.