Oleh Mohd Farhan Darwis
SHAH ALAM, 9 Julai – Azmin Ali hari ini mendakwa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah “Melayu rasis” apabila mempertikaikan pemberian pengiktirafan kepada Kolej Tunku Abdul Rahman oleh kerajaan.
“Bekas perdana menteri itu adalah Melayu rasis. Mengapa beliau menggunakan pendidikan sebagai senjata politik perkauman,” tegas Azmin ketika sesi perbahasan Enakmen Perbekalan Tambahan 2012 di sini.
Dr Mahathir semalam dalam temuramah dengan akhbar Mingguan Malaysia semalam berpendapat, masyarakat Melayu di negara ini sudah “kaku dan tidak boleh menjawab balik” kerana takut dituduh bersifat rasis.
Beliau turut berkata, Melayu kini bersifat mementingkan undi sehingga apabila tuntutan dibuat yang melanggar perjanjian ketika zaman kemerdekaan dilanggar sekalipun, mereka masih lagi berdiam diri.
“Saya berpendapat kita sudah kaku dan tidak menjawab balik kerana takut dituduh rasis. Sampaikan tuntutan dibuat yang melanggar perjanjian dahulu pun kita tak jawab.
“Malah, mereka buat lebih tuntutan lagi,” kata perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu, sambil merujuk kepada pemberian pengiktirafan oleh kerajaan kepada KTAR.
“Dahulu nak masuk kerja diploma hanya melibatkan universiti awam, tapi sekarang diploma Kolej Tunku Abdul Rahman, kita kena terima.”
Azmin ketika mengulas berkenaan perkara itu juga menuntut MCA untuk memberikan pendirian mereka berhubung perkara itu.
“Mana MCA? Apa pendirian mereka?” soalnya lagi.
Adun Bukit Antarabangsa itu kemudiannya dibidas oleh Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun, yang menegaskan kenyataan Dr Mahathir itu tidak mewakili kerajaan kerana beliau bukan lagi berada di dalam pemerintahan kerajaan.
“Siapa perdana menteri? Ini kenyataan bekas perdana menteri, ia tidak mewakili kenyataan rasmi pemimpin negara kita,” tegas Koon Mung.
Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kerajaan akan mengiktiraf lebih 70 kursus yang ditawarkan oleh KTAR yang mana membolehkan graduan mereka turut mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pengiktirafan itu akan berkuatkuasa serta merta, dan akan meliputi kursus Diploma dan Diploma Lanjutan yang ditawarkan kolej berkenaan sejak pertengahan tahun 1990-an.
“Kita tentukan perkara ini semasa kemerdekaan supaya orang Melayu boleh menjadi majoriti. Bila majoriti dalam sesebuah negara, mereka akan berkuasa.
“Namun kini mereka sendiri yang menghancurkan majoriti mereka dengan berpecah belah,” tegasnya lagi dan menambah, “Melayu kini berpecah kepada tiga kelompok dan dengan itu memang mereka memerlukan sokongan kaum lain,” kata bekas perdana menteri itu lagi.
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, apabila Melayu berpecah, mereka akan mencuba sedaya upaya untuk memenuhi tuntutan pihak lain bagi mendapatkan undi mereka.
“Sekarang ini dalam keadaan berpecah belah, maka orang lain minta kena bagilah kerana nakkan undi,” tambahnya lagi.
Bagaimanapun, Dr Mahathir yang masih lagi berpengaruh di negara ini turut menjelaskan, beliau bukan menentang masyarakat Cina, sebaliknya mereka perlu bersifat adil berdasarkan keadaan negara.
“Saya bukanlah menentang kaum Cina, tapi kena lah bersifat adil berdasarkan negara ini. Bila saya bercakap mengenai perkara ini, mereka kata saya rasis, tetapi kenyataan-kenyataan ini yang dipersetujui dalam Perlembagaan,” katanya merujuk kepada kedudukan Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
“Jika mereka nak lebih, mereka juga perlu bagi lebih kepada kita. Barulah seimbang.
“Katalah mereka kata nak hapus hak istimewa orang Melayu, maka mereka perlulah hapuskan keistimewaan seperti tidak boleh menggunakan bahasa mereka atau sekolah jenis kebangsaan,” katanya kepada akhbar milik Umno itu lagi.
KTAR merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang diwujudkan sejak 1969, dan setakat ini telah menghasilkan lebih 160,000 graduan.
Selain itu, kolej yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang juga merupakan Presiden MCA sebelum berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sedang berurusan dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menaik taraf KTAR kepada status kolej universiti.
KTAR adalah institusi pengajian tinggi milik MCA yang ditubuhkan pada 24 Februari 1969, dan telah berkembang ke seluruh negara dengan mempunyai enam cawangan dan lebih 30,000 pelajar yang kebanyakan mengikuti pelbagai kursus dalam peringkat sijil dan diploma.

