Bagus juga Jadi Anak Tengah – HTC One S

Dimensi: 130.9 x 65 x 7.8 mm
Berat: 119.5 g
Paparan: 4.3-inch Super AMOLED capacitive touchscreen
Kamera: 8 MP dengan LED flash
Bateri: 1650 mAh, li-ion

Nilai: 8/10
Ciri-ciri: 9/10
Prestasi: 8/10
Rekabentuk: 9/10
Penggunaan: 9/10

Markah Ujian: 3573 (Quadrant Standard)

Hasil Ujian: Terbaik di antara telefon pintar dwi teras
Skor: 8.6/10

Walaupun HTC One S tidak dilancarkan bersama – sama dengan One X dan One V, ia masih mendapat sambutan yang baik. Disebabkan ia model pertengahan ia mempunyai pemproses dwi teras dan skrin yang lebih kecil berbanding model atas. Mari kita lihat adakah HTC One S mampu diminati pengguna kali pertama dan juga memastikan peminat HTC kekal dengan jenama ini.

Premium Keseluruhan

Melihat pada One S, dari rekaannya saja ia sudah menarik perhatian. Apabila saya memegangnya, memang terasa ia bagai telefon premium. Dibina dari satu blok aluminium yang dianodkan, ia kukuh, nipis dan sedap dipegang. Bagi mereka yang tidak sukakan saiz HTC One X mungkin mahu melihat One S oleh kerana ia cukup kecil untuk dipegang dalam satu tangan. One S juga terasa selesa di dalam poket dan saya tak perasan akan beratnya.

Paparan Hebat

Paparan Super AMOLED 4.3 inci terdapat pada bahagian hadapan One S. Kesemua gambar yang telah saya masukkan ke dalam telefon ini kelihatan cerah dan berkontras tinggi. Ini memastikan ia kelihatan cantik. Walaupun ia tidak mempunyai resolusi yang tinggi ikon dan juga teks kecil masih kelihatan tajam. Apatah lagi, warna hitamnya cukup dalam dan senang mengenal-pasti perbezaan warna pada skrin ini. Walaupun begitu saya perasan imej nampak lebih hangat berbanding dengan paparan telefon lain. Tapi saya tak kisah sangat kerana ia masih cantik untuk dilihat.

HTC Sense dan ICS

Mempunyai ICS terus tanpa perlu mengemas-kini telefon ini amat menggembirakan saya. Tambahan pula terdapat HTC Sense 4.0 yang terbaru di dalam telefon ini. Wijet jamnya masih secantik dulu dan nampaknya HTC membaiki sikit skin HTC Sense ini dengan membuang karosel dan banyak lagi. ICS tampak lancar tanpa sebarang kelembapan pada One S. Walaupun begitu saya kurang menyukai cara ia mengurus multi kerja. Untuk menutup aplikasi saya terpaksa menariknya ke atas, dan bukan ke kiri atau ke kanan. Ia berlainan dengan cara aliran ICS berfungsi.

Mainkan Semua Media

Walaupun hanya mempunyai resolusi 540 x 960, menonton video 720p pada One S terasa amat hebat. Ia tak mampu menyokong 1080p tapi kesemuanya terang dan cukup tajam. Video 480p pun sudah nampak cantik. Apa lagi yang saya mahukan? Dari aksi hingga ke adegan yang menitikberatkan visual, kesemuanya lancar tanpa hilang kualiti. Senang kata saya tak boleh berhenti dari menonton video di One S.