KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Hujan lebat di kawasan utara Lembah Klang
menyebabkan trafik bergerak perlahan petang tadi.
Jurucakap Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ketika dihubungi berkata
antara kawasan yang terlibat ialah di Laluan Ekspres Lembah Klang Baru Utara
(NKVE) dan kawasan berdekatan Plaza Tol Rawang pada kira-kira 6 petang.
"Di laluan NKVE berdekatan dengan Glomac, berlaku banjir kilat menyebabkan
trafik perlahan dari Bukit Lanjan tetapi keadaan sudah pulih," katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Banjir kilat turut berlaku di jalan persekutuan dekat dengan Plaza Tol
Rawang iaitu laluan masuk-keluar ke plaza tol berkenaan, katanya.
Keadaan trafik masih lagi sesak di laluan itu.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah pula berkata sehingga 8
malam ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan kejadian banjir kilat di
sekitar ibu negara.
Sementara itu, keadaan trafik di sekitar ibu negara termasuk laluan menuju
ke Tol Plus Sungai Besi masih lagi perlahan akibat hujan lebat.
-- BERNAMA
MRA NAK KLS

