Malaysia Elections 2013

BANTUAN PINJAMAN TEKUN BERI KESAN BERGANDA KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA, KATA NAJIB

(Pembetulan pada perenggan ke-7)

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama)-- Jumlah pembiayaan pinjaman oleh Tabung

Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) bernilai lebih RM2.4 bilion kepada

sekitar 250,000 usahawan setakat ini mampu memberi kesan berganda kepada

pertumbuhan ekonomi negara serta sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata selain membantu para

usahawan memulakan perniagaan, Tekun Nasional juga adalah inisiatif kerajaan

mengelakkan para peniaga memilih untuk meminjam kepada "along" atau ceti haram.

"Angka ini juga termasuk pembiayaan kepada hampir 5,000 peniaga India yang

bernilai RM41.95 juta di bawah program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat

India yang diperkenalkan pada 2008," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Usahawan Tekun

dan Ekspo Keusahawanan Tekun Nasional 2013 di sini hari ini.

Selain Tekun, Najib berkata sebanyak 82 dana dan tabung berjumlah RM60.82

bilion telah diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu usawahan PKS di negara ini.

"Dengan akses kredit yang banyak, industri PKS mampu berkembang dan

kadar pertumbuhan negara turut bertambah," kata beliau.

Kemantapan sistem akses kredit negara juga kata Najib diakui sendiri oleh

Laporan Menjalankan Perniagaan 2011-2012 oleh Bank Dunia yang mencatatkan

Malaysia sebagai negara nombor satu paling mudah untuk peniaga mendapatkan

pembiayaan perniagaan dalam satu kajian yang melibatkan 183 negara.

"Kedudukan ini bukan untuk satu tahun tetapi untuk lima tahun

berturut-turut," kata beliau.

Perdana Menteri berkata pada masa ini sumbangan PKS kepada keluaran dalam

negara kasar (KDNK) adalah sebanyak 32.5 peratus dan negara mensasarkan ianya

akan meningkat kepada 41 peratus pada 2020.

"Kita mensasarkan agar PKS akan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara dan

terus berkembang untuk memberi sumbangan lebih besar kepada negara," kata

beliau.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar

berkata Tekun Nasional akan terus membantu usahawan PKS memasarkan produk

mereka hingga ke peringkat antarabangsa.

"Tekun Nasional bersama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan bukan

sahaja membantu dari segi pembungkusan dan pelabelan tetapi juga dari segi

pemasaran untuk dalam dan luar negara," kata beliau kepada pemberita.

Mengenai pembayaran balik pinjaman, Noh Omar berkata Tekun Nasional kini

memberi beberapa insentif kepada para peminjam untuk mengalakkan mereka membuat

pembayaran balik melalui tawaran diskaun 10 peratus kepada peniaga yang membayar

balik tepat pada masanya.

"Kami juga memberi akses kredit yang lebih mudah untuk pinjaman kali kedua

dengan jumlah sekali ganda daripada pinjaman yang pertama jika mereka mempunyai

rekod pembayaran balik yang baik," kata beliau.

Tambah beliau lagi, kakitangan Tekun yang berjaya mengutip bayaran balik

pinjaman berjumlah RM1 juta setahun juga akan menerima ganjaran sebuah

motosikal.

Buat masa ini, Tekun Nasional mencatatkan kadar pinjaman tidak berbayar

lebih kurang 15 peratus, kata Noh Omar.

--BERNAMA

NSF NHZ

MORE ELECTION STORIES

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.

Loading...