Malaysia Elections 2013

Bapa mangsa dakwa terdapat kesan dipukul, DAP gesa bedah siasat kedua

Oleh Md Izwan

SUBANG, 15 Jan — Bapa kepada mendiang Chang Chin Te, 30 yang mati dalam tahanan di lokap balai polis USJ 8 semalam mendakwa terdapat kesan pukulan pada badan anak lelakinya tersebut dan mahu bedah siasat kedua dilakukan bagi mengesahkan punca sebenar kematian tersebut.

Chang Chan Man, 64 yang ditemui di rumahnya Kampung Melayu Subang kelihatan sugul dan bersedih ke atas pemergiaan anak bongsunya yang meninggalkan seorang isteri dan empat anak yang masih kecil.

Mangsa telah ditahan pada Khamis lalu sekitar jam 12 malam oleh sekumpulan pasukan polis di rumahnya dan dibawa ke balai polis untuk membantu satu siasatan melibatkan satu kes pecah rumah.

“Anak saya telah ditahan pada Khamis lalu dan selepas empat hari seorang pegawai polis telah datang ke rumah dan memaklumkan tentang kematian anak saya tersebut.

“Mereka (polis) telah memberitahu bahawa anak saya adalah suspek dalam satu kes pecah rumah,” kata Chang.

Sejak ditahan pada Khamis, pihak polis langsung tidak memaklumkan sebarang maklumat mengenai keadaan mangsa dan tindakan yang akan diambil tetapi hanya memaklumkan kepada keluarga mangsa tentang kematiannya.

Mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan polis hanya memaklumkan kepada isterinya untuk menuntut mayat mendiang tanpa memberi sebarang alasan punca kematian.

“Selepas polis memberitahu kepada isterinya, mereka mengarahkan beliau ke PPUM bagi menuntut mayat mendiang.

“Isterinya dan saya cuba bertanyakan apakah sebab kematian, tetapi pihak polis tidak memberikan sebarang jawapan,” kata Chang lagi.

Sebaik tiba di hospital, isteri mendiang Lim Wei Ni, 28 terkejut melihat keadaan badan suaminya yang penuh dengan kesan luka dan lebam serta bengkak di muka dan dadanya yang mengecut.

“Kami sangat terkejut melihat keadaan badan mangsa, banyak luka dan lebam,” kata bapa mendiang lagi.

Menurut bapa mangsa lagi, isteri mendiang telah mengambil beberapa keping gambar setelah melihat keadaan badan suaminya yang cedera teruk namun pihak polis semasa di hospital telah mengarahkannya untuk membuang gambar tersebut tanpa memberi sebarang alasan.

Sementara itu, exco kerajaan negeri Selangor Liu Tian Khiew dan Ronnie Liu yang hadir bersama keluarga menggesa pihak polis tampil menjelaskan keadaan dan menyiasat punca kematian dengan serta-merta.

“Kami kesal dengan kes ini dan mahu pihak polis menyiasat perkara ini secepat mungkin.

“Perkara ini berulangkali berlaku, kami akan memohon bedah siasat kedua dan akan memohon kepada pihak polis dan hospital untuk melakukannya,” tegas Liu.

Beliau juga mahu pihak polis bertanggungjawab dalam kematian ini dan mengecam keras sikap polis yang tidak menghormati undang-undang negara.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen (MP) Seputeh Teresa Kok yang juga hadir menziarah keluarga mangsa menyatakan rasa kekesalannya ke atas yang menimpa keluarga Chang.

Kematian dalam tahanan bukan perkara yang baru melibatkan agensi penguatkuasa di dalam negara, malahan sebelum ini Putrajaya juga sering dikritik kerana tidak bertanggungjawab dan bersikap lepas tangan dalam mengendalikan kes-kes tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa kes kematian dalam tahanan yang menyebabkan Putrajaya menerima tekanan hebat daripada orang awam antaranya kes melibatkan kematian A Kugan dalam tahanan polis dan dua kematian di bawah tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini Mohamed.

MORE ELECTION STORIES

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.

Loading...