Kemeriahan bulan Ramadan Al-Mubarak di Malaysia pastinya tidak lengkap tanpa sesuatu yang dipanggil, Bazaar Ramadan. Setiap kali menjelangnya bulan mulia ini, bermakna lambakan bazaar ramadan memenuhi di setiap pelusuk bandar, daerah, pekan waima di kawasan kediaman. Selain kesabaran terperangkap dalam kesesakan jalan raya, kesabaran 'perut' anda turut diuji dengan kelazatan aneka juadah menyelerakan. Sebut pasal aneka juadah, bazaar ramadan yang terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras adalah antara destinasi pilihan ramai.
Terletak lebih kurang 10 kilometer dari ibu kota Kuala Lumpur, bertempat di kawasan letak kereta Tasik Permaisuri dan berhadapan dengan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, bazaar ini merupakan yang terbesar di sekitar Bandar Sri Permaisuiri dan Bandar Tun Razak, malah boleh dikatakan di Cheras secara keseluruhan. Variasi juadah lengkap daripada tradisional hinggalah barat menjadikan bazaar ini dilabel sebagai syurga makanan Malaysia di kalangan penduduk setempat juga 'pemburu' bazaar seluruh pelusuk Kuala Lumpur.
Lokasi strategik dengan keluasan tapak yang besar dan panjang, menjadikan bazaar ini menerima kunjungan ramai yang sudah bersesak-sesak membeli juadah untuk berbuka seawal jam 4 petang lagi. Justeru bagi mengelakkan kesesakan atau takut juadah pilihan habis licin disambar pelanggan lain, adalah digalakkan untuk datang awal ke bazaar.
Boleh dikatakan, secara kasarnya bazaar ini dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama anda akan melalui pelbagai gerai yang menjual aneka kuih-muih tradisional seperti kuih bakar, akok, seri muka, tepung pelita, putu piring, putu bambu dan bermacam-macam kuih muih moden serta manisan seperti puding karamel, agar-agar, jeli kelapa dan lain-lain lagi kuih muih yang menyelerakan. Antara gerai menjadi kegemaran ramai adalah gerai Kuih Pelita Tradisional pelbagai perisa yang boleh didapati pada harga RM2 untuk lima biji. Selain itu gerai agar-agar D'Arma juga adalah antara yang harus dikunjungi. Beroperasi sejak empat tahun lalu di bazaar ini, gerai D'Arma menawarkan sebiji agar-agar pelbagai perisa pada harga RM0.50 sebiji.
Selesai melalui ruang kuih muih, anda akan melalui bahagian kedua bazaar ini yang menempatkan gerai menjual air. Pelbagai jenis perisa boleh didapati di gerai-gerai air yang terdapat di bazaar ini antaranya coconut shake, kelapa laut, mata kucing, kathira, keladi, cendol, lemonade dan bermacam-macam lagi.
Keistimewaan bazaar ini boleh dikatakan bermula di bahagian ketiga, yang menempatkan gerai-gerai menjual aneka juadah nasi dan lauk-pauk dari serata negeri di Malaysia. Antara yang terkenal adalah Nasi Briyani dan Nasi Tomato Pak Ali yang dijual pada harga RM6.50 sebungkus. Penggemar masakan Pantai Timur usah risau kerana di sini terdapat banyak gerai yang menjual juadah seperti nasi kerabu, nasi kukus ayam dara, nasi dagang, som tam, dan bermacam-macam lagi. Gerai Nasi Ambeng Wak Minah juga tidak kurang hebatnya dan resepi kaum Jawa dari Johor ini boleh didapati pada harga RM5. Buat penggemar sup atau masakan utara khususnya, lambakan gerai seperti Sup Meletop, Laksa Langkawi antara yang mampu mengoncang selera anda.
Selain gerai Murtabak Keramat yang tidak pernah surut menerima kunjungan pelanggan, murtabak gerai Mat Murtabak Gombak yang menyediakan murtabak daging dan ayam antara juadah yang wajib dibeli. Keistimewaan ramuan rempah, telur dan adunan isi daging lembu dan ayam yang lembut dan empuk sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1985 lagi menjadi tarikan utama pengunjung dan boleh didapati pada harga RM2.50 sebiji.
Bahagian keempat pula menempatkan juadah-juadah jenis bakar atau panggang. Antara yang menarik perhatian adalah gerai King Chicken Wing. Dengan hanya RM1.50 seketul, anda akan dapat menikmati kelazatan resepi kepak panggang dari negeri bawah bayu, Sabah. Ramai yang kata rasa kicap cecah berladanya berbeza dari yang ada di Semenanjung Malaysia, tak percaya? Rasailah sendiri. Ayam golek Juara Ayam Bakar Berempah Madu yang dijual pada harga RM18 seekor juga memang menyelerakan. Keistimewaannya terletak pada adunan rempah istimewa dari Turki. Buat penggemar daging kambing, terdapat beberapa gerai yang menyajikan juadah daging kambing pelbagai jenis masakan di bazaar ini. Namun yang paling menarik hati adalah gerai Kambing Panggang Uncle Hussein BBQ Kitchen yang menawarkan harga serendah RM8 ke atas mengikut saiz pinggan. Bersebelahan gerai Uncle Hussein BBQ Kitchen, terletaknya sebuah gerai yang diklasifikasikan unik dan satu seumpanya disini, gerai Itik Panggang Sabri Hoi antara gerai paling meriah dengan kunjungan pelbagai lapisan masyarakat. Resipi unik itik panggang ini boleh didapati dengan harga RM38 seekor.
Menarik bukan? Apa tunggu lagi, luangkan sedikit masa merasai sendiri kemeriahan dan keistimewaan juadah-juadah di bazaar ramadan Bandar Sri Permaisuri ini. Namun dalam kerancakan berbelanja, jangan membazir. Bak kata orang urban, "Tepuk perut, tanya selera".
