Bazaar Ramadan: Bangsar

'Jelajah' bazaar ramadan di sekitar Lembah Klang diteruskan lagi!

Kali ini kita ke salah satu lokasi yang popular iaitu Jalan Telawi, Bangsar. Dengan kemudahan tempat meletak kereta di sekitarnya, keluasan bazaar ramadan yang sederhana serta variasi juadah yang menarik, maka tidak hairanlah ia seringkali mendapat kunjungan ramai.

Walaupun bazaar ramadan ini mungkin tidak sebesar bazaar-bazaar yang lain di sekitar Kuala Lumpur, pengunjung boleh mendapatkan hampir semua juadah makanan yang diidamkan di sini. Mungkin kerana saiz bazaarnya yang kecil tetapi luas membuatkan kita melihat tidak banyak barisan panjang atau kesesakan orang ramai ketika mendapatkan juadah berbuka yang diinginkan. Tidak keterlaluan rasanya jika kami mengatakan agak selesa membeli di sini.

Antara juadah makanan yang menjadi tarikan di bazaar ini di sini adalah nasi lemak kukus, ayam percik, roti john, roti jala, sup tulang, satay serta makanan goreng serta panggang. Ada juga makanan barat seperti Shepherd's Pie yang dijual oleh Duduk Café.

Bagi hidangan manis pula terdapat pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti ondeh-ondeh, popia, donat, cempedak goreng, jeli dan puding.

Bagi gerai minuman pula, selain air bandung dan air tebu yang menjadi kebiasaan di setiap bazaar ramadan, terdapat juga gerai khas yang menjual air kelapa laut dan soya.

Bagi mereka yang ingin mengunjungi bazaar ramadan ini, mereka boleh meletak kereta di tempat parkir pusat beli-belah Bangsar Village I dan II yang berdekatan, lebih baik daripada double parking, terperangkap dalam double parking orang lain atau pun disaman. Namun jalan raya menghala ke Bangsar akan sesak bermula jam 5.00 petang, oleh itu datanglah awal supaya tidak perlu mengharungi kesesakan lalu lintas untuk mendapatkan juadah yang diidamkan sepanjang hari berpuasa.

Kunjungilah bazaar ramadan Jalan Telawi, Bangsar, kerana lokasinya yang strategik untuk membeli juadah berbuka puasa yang beraneka jenis!