Bazaar Ramadan: Kelana Jaya

Bazaar Ramadhan: Kelana Jaya

Setiap kali bulan Ramadhan Al-Mubarak menjelang, salah satu perkars yang ditunggu-tunggu adalah bazaar ramadhan. Ia bukan sahaja menjadi tarikan umat Islam, sebaliknya kaum-kaum yang lain juga.

Kebiasaannya beberapa lokasi bazaar ramadhan popular yang menawarkan pelbagai juadah menarik menjadi perhatian sesiapa sahaja walaupun ada yang terpaksa beratur panjang.

Salah satu lokasi terkenal bazaar ramadhan di Lembah Klang bertempat di kawasan perumahan SS6/1 Kelana Jaya yang hanya beberapa meter sahaja dari pasaraya Giant. Walaupun jalan raya di sekitar Kelana Jaya menghala ke Lebuhraya Damansara-Puchong akan mula sesak bermula jam 5.00 petang, tetapi bazaar ini yang terletak sepanjang jalan SS6/1 ini dengan lebih daripada 60 buah gerai memang berbaloi untuk mengharungi beberapa minit kesesakan lalu lintas untuk mendapatkan juadah yang diidamkan sepanjang hari berpuasa.

Antara gerai-gerai yang menjadi tarikan di bazaar ini selain daripada roti john, murtabak, nasi lemak kukus, lemang, cencaru sambal goreng serta kuih-muih tradisional adalah gerai satar, iaitu hidangan yang berasal dari Kuala Terengganu yang dibuat dengan ikan tenggiri, bawang merah, hirisan kelapa dan halia, dibaluti dengan daun pisang dan dibakar.

Bagi hidangan manis pula terdapat Bubur Kelana yang menjual pelbagai jenis bubur seperti bubur kacang hijau, bubur butir nangka, bubur jagung, bubur sagupal, pengat pisang dan lain-lain lagi.

Gerai Massuri yang menjual nasi lemak kukus dengan ayam dan puyuh goreng berempah juga menjadi pilihan ramai kerana seringkali disinggah oleh pembeli.

Bagi gerai minum pula, selain air bandung dan air tebu yang menjadi kebiasaan di setiap bazaar ramadhan, terdapat juga gerai air yang khas untuk air kelapa laut madu yang segar.

Kunjungilah bazaar ramadhan SS6/1 Kelana Jaya untuk lokasinya yang strategik untuk membeli juadah berbuka puasa dan juga barangan dapur sekaligus.

ARTIKEL LAIN

PETIKAN SINAR RAMADAN

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)."