Advertisement

Bekalan elektrik di Sabah jangka pulih sepenuhnya sebelum malam, kata SESB

Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pagi tadi dijangka dapat dipulihkan sepenuhnya, kira-kira 6 petang ini, kata Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd Abdul Razak Sallim.

Beliau berkata sebaik gangguan bekalan berlaku pada 11.05 pagi yang menjejaskan kira-kira 500,000 pengguna di negeri ini, SESB segera melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan berjaya memulihkan bekalan secara berperingkat mulai 12.15 tengah hari.

Katanya bekalan elektrik di Ranau pulih sepenuhnya pada pukul 12.15 tengah hari diikuti Tawau dan Labuan (1 tengah hari), Keningau (1.50 tengah hari) Semporna (1.55 tengah hari) dan sehingga pukul 3 petang tadi, bekalan elektrik di Kota Kinabalu telah pulih 70%.

Abdul Razak berkata bekalan tenaga di Sandakan juga telah pulih sepenuhnya pada pukul 2.35 petang, namun terputus semula selepas mengalami masalah terpelantit sekali lagi dan usaha memulihkan tenaga di daerah berkenaan masih berjalan.

"Sebelum kejadian pagi tadi, status permintaan bekalan (tenaga di Sabah) ialah 731 MegaWatt (MW) dan kapasiti yang kita janakan pada masa itu 877MW. Jadi kita mempunyai margin atau lebihan tenaga sebanyak 146MW," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau menjelaskan gangguan bekalan tenaga berkenaan tiada kena mengena dengan kekurangan bekalan tenaga sebaliknya disebabkan punca lain yang belum dikenalpasti, kerana semasa kejadian SESB mempunyai lebihan tenaga sebanyak 146 MW.

Menjelaskan kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan seluruh Sabah “bergelap” hari ini, Abdul Razak berkata sebelum kejadian pihaknya telah mengesan kerosakan pada pepasangan SESB UMS2 pada pukul 10.56 pagi dan berjaya memulihkannya dalam tempoh 0.001 saat.

Bagaimanapun satu saat selepas kerosakan itu dibaiki dengan punca yang belum dikenalpasti, salah satu stesen janakuasa bebas di Sepanggar telah terpelantik keseluruhannya sehingga menyebabkan SESB kehilangan antara 190MW hingga 200MW serta-merta.

Katanya berdasarkan reka bentuk sistem penjanaan dan bekalan tenaga SESB penjana di Sepanggar tidak sepatutnya terpelantik, namun ia berlaku juga dan pihaknya masih mencari puncanya.

"Apabila kita kehilangan 200MW, ia turut menyebabkan satu lagi stesen janakuasa penjana bebas di Sepanggar terpelantik dan mengakibatkan janakuasa di Patau-Patau Labun turut terpelantik," kata Abdul Razak.

Menurut beliau, selepas kedua-dua janakuasa di Sepanggar dan satu di Labuan terpelantik, SESB kehilangan kira-kira 353MW ataupun 48% daripada bebanan pada ketika itu dan sebagai respons kepada keadaan itu, pihaknya terus mengggerakan pelan kecemasannya dengan mengaktifkan enam “Island Mode” di semua penjananya di seluruh Sabah.

Melalui pelan itu, Abdul Razak berkata setiap penjana kuasa akan menjana untuk keperluan kawasan sekitarnya sahaja dan terpisah daripada grid lain bagi menstabilkan penjanaan dan bekalan tenaga di setiap enam “Island Mode” itu iaitu Malawa, Salut, Labuan, Pangi, Tawau dan Sandakan.

Katanya melalui tindakan itu yang merupakan satu daripada prosedur operasi standard SESB, bekalan tenaga berjaya dipulihkan secara berperingkat.

"Pihak SESB memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna ekoran daripada kejadian ini," katanya.

Mengenai hak pengguna untuk menuntut ganti rugi disebabkan kerosakan barangan elektrik akibat gangguan, Abdul Razak berkata SESB tidak boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian asalkan semua prosedur tuntutan dipatuhi. – Bernama, 17 Januari, 2014.