Advertisement

Belajar politik Islam Nik Aziz

Kita masih bersedih atas pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun ramai pula yang merenung, mengkaji, malah mahu belajar dari politik Islam yang didambakan dengan jayanya oleh Almarhum.

Ini membuktikan kejayaannya dalam menterjemahkan melalui amalan politik Islam itu, atau politik dakah, mampu mendepani suasana moden, justeru Islam adalah agama dan cara hidup yang unggul dan anjal.

Almarhum tidak berkompromi dengan dasar Islam dalam kepimpinannya, tetapi menyesuaikannya dengan keadaan masyarakat majmuk serta suasana kontemporari yang ada.

Kepimpinannya diterima baik pelbagai kaum. Semasa hayatnya, pelbagai bangsa menyayanginya, malah orang bukan Islam menganggapnya sebagai ‘the holy man’.

Cara kepimpinan dan hidup zuhudnya dikagumi semua. Tidak mudah ditemui seorang pemimpin menjalani kehidupan sedemikian rupa. Dalam hidupnya, Almarhum memperbanyakkan sahabat, mengurangkan musuh.

Akhbar berbahasa Cina dan Tamil menyiarkan secara meluas dengan gambar berwarna mengenai kematiannya, khususnya iringan jenazah yang dibawa dari masjidnya hingga ke perkuburan.

Di mana-mana, orang bercakap mengenai kehebatan pemimpin yang satu ini, di mana bagi mereka, setakat ini, sukar dicari ganti.

Sepanjang 23 tahun memerintah Kelantan, Almarhum memperlihatkan secara praktik pelaksanaan politik Islam - toleransinya, keterbukaannya, hingga diterima pelbagai kaum.

Demikianlah harumnya politik Islam yang dipancarkan oleh Almarhum Nik Aziz.

Oleh itu, sangat wajar bagi pendukung PAS semua peringkat mencontohi amalan politik Islam atau politik dakwah yang dilaksanakan dengan jayanya oleh Mursyidul Am PAS ini.

Dalam hal ini saya tertarik dengan pandangan AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad mengenai perlunya dipelajari politik Islam dalam masyarakat majmuk yang dilaksanakan Almarhum selama ini.

Menurut Dr Dzulkefly Almarhum, Nik Aziz adalah ulama haraki yang punya penguasaan (isti’ab) terhadap realiti politik pelbagai tuntutan, yang saling bertentangan (mutually exclusive) di kalangan masyarakat plural yang majmuk di negara ini.

Almarhum, katanya, tetap bertegas dan tidak mengundur.

Disebabkan itu, kata beliau, Almarhum pernah dicemuh dan ditohmah sebagai pengamal pluralisme agama bahkan liberal.

Golongan agamawan sama ada dari luar mahupun dalam parti PAS sendiri cepat menuduh Almarhum ketika mereka tidak memahami strategi siasah dan pendekatan dakwahnya.

“Dengan ilmunya, mengizinkan Almarhum meneroka dan merentas keluasan siasah dan dakwah serta faham batas-batasnya,” katanya.

Menurutnya, Almarhum tidak takut dikritik ketika hadir menziarahi kematian Sami Buddha yang terkemuka.

Almarhum menghadiri tempat ibadat seperti tokong dan keramaian budaya di restoran besar di kalangan kaum Tionghua meskipun ada hidangan yang kurang ‘menyenangkan’ di mata umat Islam.

Ini, katanya, persis apa yang dilakukan Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin, yang menyantuni dan berdakwah kepada anak muda Mesir di pusat-pusat hiburan di bandar-bandar di Kaherah.

“Bahkan Almarhum dikatakan memberi keutamaan meraikan program seumpama ini, seandainya bertembung dengan perihal pentadbiran yang lain,” tambah Dr Dzulkefly.

Menurutnya, Almarhum kerap memulakan ucapannya di depan kaum Tionghua dengan ayat Al-Quran yang relevan dan sesuai dengan tujuan dakwahnya ketika itu.

Contohnya, kerap Almarhum mengungkapkan ayat 13 Surah Hujurat yang menekankan manusia dari datuk dan moyang yang sama yakni Adam dan Hawa. Itu biasa.

Namun, kata Dr Dzulkefly, apabila Almarhum menekankan bukan saja “kita bersaudara”, tetapi acapkali didengar menggunakan kalimat kita ini “adik-beradik”, itu ajaib dan istimewanya.

Di sinilah, seperti Dr Dzulkefly juga, saya turut bertanya mampukah pendukung PAS memenuhi pelaksanaan syariat yang diasaskan Almarhum dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup keluasan demokrasi dan peruntukan perlembagaan negara?

Juga kita bertanya, mampukah pimpinan tertinggi PAS meneruskan penegasan Almarhum untuk kekal bertahaluf dalam Pakatan Rakyat serta bijak mengurus perbezaan yang kadangkala sangat tajam dan mendebarkan?

Dalam hal ini ada kebimbangan di dalam hati saya akan trend, kalapun boleh dianggap trend, ada segelintir pendukung PAS yang sangat gemar melabelkan seseorang – di kalangan ahli PAS sendiri – dengan pelbagai label, ‘golongan Islam sekular’, ‘mahu Islam tanpa syariat’, ‘Islam liberal’, ‘berkiblatkan dermokrasi’ dan pelbagai lagi.

Pada pendapat saya, label melabel begini elemen yang sepatutnya tidak ada dalam jamaah PAS yang dididik dalam tarbiyah menerusi usrah dan tamrin selama lebih setengah abad.

Dalam masa yang sama juga tersebar luas isu wala’ dan tidak wala’ (setia atau tidak setia) kepada pimpinan. Bagi saya, ini trend yang sama sekali tidak sihat di dalam PAS, justeru ia hanya akan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS, kerana ia mencabar kesetiaan hati nurani seseorang ahli.

Tentu tidak munasabah perbezaan pendapat di antara ahli dan pimpinan dianggap tidak wala’.

Padahal dalam sirah Nabi, wujud di mana ada ketikanya para sahabat berbeza pendapat dengan Nabi dalam hal tertentu yang tidak melibatkan wahyu. Maka Nabi, dengan sikap terbukanya, mendengar pandangan para sahabat.

Mengapa kita pula tidak bersedia menerima pandangan yang berbeza. Apa hebatnya kita?

Pada pendapat saya, isu yang ada di dalam PAS kini adalah elemen negatif yang wujud di dalam parti yang hanya mendorong pecah belah di dalam parti, maka sewajarnya dihindarkan segera.

Selepas pemergian Nik Aziz, kita bertanya, mampukan pendukung PAS meneruskan konsep ‘PAS untuk Semua’ yang menjadi tema ucapan dasar di Muktamar PAS beberapa tahun lalu.

Untuk itu, belajarlah mengenai politik Islam dan politik dakwah seperti yang dilaksanakan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz semasa hayatnya jika kita benar-benar menyayanginya.

Jika pendukung PAS gagal memahaminya, maka di manakah hendak diletakkan konsep ‘PAS For All’ itu, adakah hendak dimansuhkan sahaja, menjadikan PAS kembali sebagai parti eksklusif? – 24 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.