KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Belia yang berusia antara 21 dan 30 tahun
boleh mula memohon rebet RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G terpilih
daripada pengedar berdaftar mulai Selasa depan.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk
Mohamed Sharil Tarmizi berkata permohonan di bawah Pakej Komunikasi Belia itu
boleh dibuat menerusi pendaftaran dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/.
Skim itu berasaskan siapa cepat dia dapat dan khas bagi 1.5 juta belia yang
layak yang boleh mendapatkan telefon pintar itu selagi stok masih ada, katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Sharil berkata belia yang layak menikmati rebet RM200 itu boleh
membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500 daripada pengedar
terpilih dan ejen yang dilantik oleh penyedia perkhidmatan.
"Tujuannya ialah untuk memperluaskan insentif itu merangkumi belia daripada
kalangan berpendapatan rendah yang masih belum menggunakan telefon pintar dan
tidak mampu untuk menaik taraf telefon lama 2G mereka kepada telefon pintar 3G
yang asas.
"Mereka yang mampu memiliki telefon berharga RM500 sebenarnya bukanlah
kategori yang dihasratkan atau pasaran sasaran," katanya.
-- LAGI
SKMM-REBET 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rebet RM200 sekali
sahaja bagi pembelian telefon pintar 3G kepada 1.5 juta belia yang layak
menerusi Pakej Komunikasi Belia ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada
September lepas dalam usaha memberi belia akses kepada gerbang maklumat.
Dengan rebet itu, mereka dijangka membayar tidak lebih daripada RM300 untuk
memiliki sebuah telefon pintar 3G baharu, katanya sambil menolak dakwaan bahawa
had harga RM500 adalah rendah memandangkan terdapat lebih 20 model telefon
berjenama yang dilengkapi kemudahan 3G.
"Syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dan operator rangkaian maya
mudah alih akan menawarkan tidak lebih daripada lima dan mungkin sehingga 10
atau 12 model di bawah inisiatif itu menerusi kedai pengedar mereka.
"Oleh itu, belia seharusnya mencari logo ''Pakej Komunikasi Belia'' yang akan
dipaparkan pada kain rentang dan bunting di kedai itu atau mereka juga boleh
menyemak laman web penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan senarai telefon pintar
dan kedai pengedar yang mengambil bahagian," katanya.
Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh SKMM, lebih 90
peratus pengguna berada dalam segmen prabayar tetapi syarikat telekomunikasi
hanya menyediakan insentif telefon bimbit bagi kontrak pascabayar.
Sementara itu, Mohamed Sharil berkata pemilik perniagaan kecil berumur
antara 18 dan 65 tahun boleh mula memohon geran RM1,000 menerusi ''Get Malaysian
Business Online'' mulai Selasa depan (1 Jan), juga dengan mendaftar dalam talian
di http://nbi.skmm.gov.my/.
Beliau berkata usahawan kecil yang mendaftar di laman web dan memenuhi semua
terma serta syarat akan menerima geran RM1,000 daripada SKMM yang akan
dimasukkan terus ke dalam akaun bank tempatan pemohon yang berjaya.
-- BERNAMA
SFA LES ROS

