KOTA BAHARU, 16 Jan (Bernama) -- Dua remaja perempuan melalui detik
cemas apabila sebuah kereta tiba-tiba merempuh kedai stesen minyak di Jalan
Pintu Geng, di sini hari ini.
Dalam kejadian 10.45 pagi itu, pekerja stesen minyak, Nik Nor Haslindar Nor
Hisham, 18, yang sedang mengira duit di kaunter, tergamam selepas melihat sebuah
kereta tiba-tiba meluncur ke dalam kedai itu.
"Saya bersama rakan, Nur Hanin Nadia Halil, 24, berada di kaunter dalam
kedai sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat.
"Ingat ada pam minyak meletup kerana bunyinya terlalu kuat, tapi tak
sangka kereta merempuh kedai stesen minyak ini," katanya ketika ditemui di
tempat kejadian.
Nik Nor Haslindar berkata dia dan rakannya bernasib baik kerana rempuhan
kereta tersebut tidak mengena bahagian kaunter tempat kedua-dua mereka sedang
berada ketika itu.
-- LAGI
KERETA-REMPUH 2 (AKHIR) KOTA BAHARU
"Mungkin pemandu kereta, seorang perempuan berusia lingkungan 40-an
tersalah tekan pedal minyak menyebabkan kenderaannya merempuh ke dalam kedai.
"Berikutan itu saya dan rakan terpaksa panjat naik kaunter untuk keluar
kerana keadaan kami terkepung," katanya.
Pemilik stesen minyak yang enggan dikenali berkata jumlah kerugian masih
dalam taksiran dan kejadian tersebut kali pertama berlaku sejak stesen minyak
itu beroperasi 13 tahun lepas.
Pemandu kereta kemudian dihantar orang ramai ke Klinik Kesihatan Wakaf Che
Yeh untuk rawatan kerana cedera ringan.
-- BERNAMA
FBA BD KHY HBS1

