PHNOM PENH, 15 Ogos (Bernama) -- Yayasan Restu dan Kementerian Pertahanan
telah mencetak 40,000 naskah al-Quran yang diterjemah ke bahasa Khmer, satu
usaha yang mengambil masa 15 tahun, untuk kegunaan penduduk Islam di Kemboja.
Sebanyak 3,840 naskah al-Quran itu diserah kepada Timbalan Menteri
Pengangkutan dan Latihan Vokasional Kemboja merangkap Pengerusi Yayasan
Pembangunan Umat Islam Kemboja Othsman Hassan, di Masjid Kilometer 9 di sini.
Acara penyerahan itu disempurnakan Pengerusi Yayasan Restu Datuk Abdul
Latiff Mirasa dan Penasihat Agama Menteri Pertahanan Datuk Kamaruddin Mamat.
"Baki cetakan al-Quran itu akan dihantar secara berperingkat selepas Hari
Raya Aidilfitri menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia dan AirAsia," kata
Kamaruddin pada majlis itu.
Beliau menarik perhatian bahawa terjemahan kitab suci itu ke bahasa Khmer
mengambil masa 15 tahun dan diketuai penterjemah Zakaryya Adam dengan kerjasama
Yayasan Restu.
-- LAGI
KEMBOJA-QURAN 2 PHNOM PENH
"Sebagai seorang Islam, saya berbangga dengan izin Allah akhirnya usaha
menterjemah al-Quran ke bahasa Khmer berjaya dibuat walaupun ia mengambil masa
belasan tahun untuk disiapkan," kata Kamaruddin.
"Saya bagi pihak Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan
kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan
projek ini," katanya.
Turut hadir Mufti Kemboja Kamaruddin Yusuf dan tokoh-tokoh agama tempatan
yang turut membantu sehingga terjemahan kitab suci itu sampai ke bumi Kemboja.
Kamaruddin berharap projek itu dapat meningkatkan hubungan persaudaraan
sesama Islam selain menzahirkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap
saudara seagama yang memerlukan bantuan.
Urusan percetakan dan penghantaran naskah al-Quran berkenaan ke Kemboja
diuruskan Yayasan Restu manakala pengedarannya dikendalikan Yayasan Pembangunan
Umat Islam Kemboja dengan kerjasama Majlis Tertinggi Umat Islam Kemboja dan
beberapa pihak lain.
-- LAGI
KEMBOJA-QURAN 3 (AKHIR) PHNOM PENH
Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata 60,000 lagi al-Quran terjemahan bahasa
Khmer akan dicetak selewat-lewatnya akhir tahun ini menjadikan jumlah
keseluruhan 100,000.
Beliau berkata penyelidikan, penulisan, percetakan dan penghantaran
membabitkan kos RM3 juta sumbangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Othsman berkata umat Islam Kemboja berbangga kerana rakyat
Malaysia mampu merealisasikan impian mereka untuk membaca al-Quran yang
diterjemah ke bahasa Khmer.
Beliau berkata umat Islam Kemboja selama ini hanya membaca al-Quran tanpa
memahami maksud sebenar kecuali mereka yang memahami bahasa Arab.
Sehubungan itu, penduduk Islam Kemboja berterima kasih kepada Ahmad Zahid
kerana membantu menerbitkan al-Quran terjemahan Khmer itu, katanya.
-- BERNAMA
AM MAM SN

