TAWAU, 2 Mac (Bernama) -- Seorang penuntut Universiti Brunei Darussalam
(UBD) ditemui mati lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas mereka
dihanyutkan ''kepala air'' di Sungai Balung di sini semalam.
Mayat Muhamad Azizan Mohd Sidek, 22, dijumpai terapung di hilir sungai itu
pukul 3.57 petang hari ini, manakala usaha mencari dan menyelamat Muhd Hazmi
Yakud yang ditamatkan pukul 6 petang tadi akan disambung pagi esok.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Faisal Ahmad, dua pelajar
berkenaan adalah antara empat yang dihanyutkan arus deras itu dalam kejadian
pukul 3.30 petang semalam.
Dua lagi iaitu Mohd Jamaludin Shah, 24, dan Siti Lyana, 22, ditemui sedang
berpaut pada batu kira-kira tiga jam selepas kejadian, katanya ketika dihubungi
di sini hari ini.
Menurutnya kejadian berlaku ketika pelajar dari Fakulti Sains UBD terbabit
sedang menjalankan kajian geologi pada batuan yang ada di tebing sungai
berkenaan.
-- LAGI
BRUNEI-LEMAS 2 (AKHIR) TAWAU
Sementara itu, jurucakap UBD berkata pelajar terbabit antara 28 penuntut
tahun dua universiti berkenaan yang menjalankan kajian lapangan di sini sejak 22
Feb lepas.
Mereka dijadual balik ke Brunei hari ini, katanya menambah rombongan
diketuai dua pensyarah.
Kumpulan penuntut terbabit dibawa pulang ke Brunei hari ini menaiki pesawat
khas Royal Brunei Airlines.
Sementara itu, Konsul Agung Brunei di Kota Kinabalu Zamani Razali berkata
pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah dan Malaysia atas bantuan
yang diberikan.
Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar
Titingan yang hadir ke Lapangan Terbang Tawau untuk memberi sokongan moral
kepada rombongan berkenaan turut melahirkan rasa sedih dan simpati kepada
mangsa.
-- BERNAMA
IL SZA NM

