Bersediakah Umno melancarkan ‘Pekan move’? – Wenger Khairy

Mahu tidak mahu, setiap satu batang tubuh blogger tajaan Umno dan mereka yang sewaktu dengannya harus menyanjungi keberanian PKR untuk mengheret kerajaan negeri, rakan politik, institusi diraja dan rakyat secara amnya ke dalam kancah pergolakan politik dalaman demi menumpaskan seorang pemimpin yang tidak sehaluan.

Meskipun langkah tersebut tidak mencapai matlamat menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ia tetap berjaya menobatkan Azmin Ali, seteru politik Khalid sebagai menteri besar Selangor ke-15.

Dalam pada itu, kejayaan PKR tidak boleh dipandang ringan penganalisis politik tepi jalan kerana sememangnya parti tersebut terpaksa mengharungi cabaran peti undi, makamah, perlembagaan serta rintangan pelbagai pihak, termasuk cemuhan pemimpin rakan sepakatan.

Namun akhirnya PKR berjaya. Pemimpin yang dianggap tidak popular dijatuh dan digantikan dengan pemimpin baharu.

Persoalannya sekarang – Umno bagaimana?

Bermula sejak tahun lepas, rungutan para penyokong gugusan United Malays National Organisation (baru) kedengaran di merata tempat, khususnya di ruangan komen bloggers tajaan Umno. Namun hanya segelintir penggiat media sosial Umnp yang berani mengkritik Najib secara langsung walaupun mereka sedar kerajaan Umno di bawah Najib lebih liberal daripada kerajaan Pakatan Rakyat sendiri.

Pelbagai pihak memberi ulasan menghentam kepimpinan perdana menteri secara halus oleh bekas menteri Umno (pencen) dan bekas wartawan masyhur, malah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri cuba memberi tunjuk ajar kepada Datuk Seri Najib Razak tetapi ia gagal sama sekali.

Dalam pada itu rakyat terpinga-pinga. Umno kalau dia bersuara membelasah PAS, PKR dan DAP, suaranya amat jelas sekali. Tetapi ke mana pula desakan tersebut apabila hendak cuba menyekat badai liberalisme di dalam pentadbiraan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun masyarakat secara amnya?

Mampukah Umno melakukan ‘Langkah Pekan’ seperti mana yang dilakukan PKR, atau segala rintihan yang kita dengar ini sekadar rintihan mereka yang tidak mendapat projek?

Bagi kami, kami menyeru mereka berhentilah.

Kepimpinan Najib kepimpinan transfomasi yang mengalahkan Transformer II. Umno mendapat undi, tetapi dasar DAP yang dikuatkuasakan. Kami penyokong pihak seberang tidak kering gusi mengenang nasib yang menimpa penyokong tegar parti cap keris. – 23 September, 2014.

* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.