Bersih tidak akan turut serta panel siasatan Bersih

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Bersih turut bersependapat dengan Majlis Peguam untuk tidak akan bekerjasama dengan panel siasatan Bersih yang diketuai Tun Hanif Omar kerana penyiasatan tersebut hanya akan “mempunyai kekurangannya” di bawah pimpinan beliau.

Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenavasan mengulangi pendapat Majlis Peguam bahawa penyertaan Hanif ke dalam panel siasatan itu selepas mengeluarkan kenyataan mengktirik Bersih 3.0 sebagai komunis, akan memberikan kesan terhadap keadilan siasatan tersebut.

“Pendirian kami tidak berubah. Ia bukan bersifat peribadi, kami tiada sebarang masalah dengan Tun Hanif, tapi kami rasakan beliau tidak sepatutnya mempengerusikan panel itu.

“Keadilan perlu dilaksanakan dan beliau telah pun membuat dakwaan tentang Bersih dalam cara yang negatif, jadi kami rasakan beliau tidak sepatutnya berada di situ (di dalam panel),” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

Ekoran Bersih 3.0 duduk bantah 28 April lalu, Hanif mendakwa terdapatnya penyokong komunis dalam perhimpunan tersebut, malah turut bersetuju dengan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa demonstrasi tersebut adalah cubaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Hanif kemudiannya dilantik Putrajaya bagi mempengerusikan panel tersebut dengan enam anggota untuk menyiasat dakwaan keganasan pihak polis.

Ambiga (gambar) turut mengemukakan pendirian sama dengan Majlis Peguam yang mana menurutnya tidak boleh dibandingkan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Selain itu, beliau juga mendakwa Suhakam telah pun menjalankan inkuiri terhadap Bersih 3.0 dan siasatan dari pihak lain tidak diperlukan.

“Apa kuasa yang ada pada panel ini? Adakah pendirian perundangannya selari dengan Suhakam? Suhakam telah pun menjelaskan mereka akan melaksanakan inkuiri, di situ kami akan memberikan tunpuan kami,” katanya.

Isnin lalu, Hanif telah menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan Majlis Peguam dan Bersih bagi menyatakan kesediaan bekerjasama dengan mereka secara sukarela.

Panel itu juga menegaskan mereka adalah satu badan alternatif buat pertubuhan yang menuntut untuk membersihkan sistem pilihan raya, malah, mereka juga sanggup untuk berjumpa Majlis Peguam dan Bersih di pejabat masing-masing demi kebaikan bersama.

“Mengenai kebimbangan bahawa ada pihak yang tidak mahu bekerjasama seperti Majlis Peguam dan Bersih, saya menyatakan di sini panel ini adalah saluran alternatif untuk mereka sedia bekerjasama secara sukarela.

“Dalam hal itu, saya sanggup berjumpa mereka termasuk hadir ke pejabat mereka sendiri,” kata Hanif.

Naib Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata kepada The Malaysian Insider semalam, badan berkenaan tidak akan menyertai siasatan tersebut, dan menerangkan ianya adalah tindakan sia-sia memandangkan Suhakam telah pun menjalankan siasatan mereka.

“Kami tidak nampak tujuan untuk menjadi pendua kepada siasatan Suhakam ... kami telah pun menegaskan kami hanya akan menyertai inkuiri Suhakam. Tiada kepentingan umum dengan mengadakan dua siasatan serentak,” katanya.

Pentadbiran Najib telah pun membentuk dwipartisan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen untuk penambahbaikan pilihan raya selepas Bersih 2.0 Julai lalu, dengan mengemukakan 22 syor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Namun Bersih dan pembangkang telah menolak syor tersebut kerana ianya tidak meliputi keperluan untuk membersihkan sistem daftar pemilih dan menghapuskan “pengundi hantu”.

Disebalik kritikan tersebut, Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008 telah memperolehi 82 kerusi Parlimen, yang mana Barisan Nasional (BN) menegaskan ianya adalah bukti sistem pilihan raya di negara ini adalah benar dan adil.

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.