Advertisement

ASUS dapat 'lesen' lancar pemain media Google

Terlalu banyak gajet yang dilancarkan Google termasuk Nexus Player. Konsol Nexus Player ini dibuat oleh Asus, yang boleh digunakan untuk melayari internet, menonton filem dan juga bermain permainan.

Nexus Player datang dengan konsol itu sendiri sebagai peranti utama, dan juga alat kawalan jauh. Konsol ini berbentuk bulat dan rata, kelihatan seperti boleh diletakkan sebagai alas kepada TV. Terdapat aksesori yang dijual berasingan, iaitu Gamepad bagi mereka yang serius mahu menggunakan Nexus Player ini sebagai konsol permainan.

OS Android digunakan untuk menggerakkan konsol ini. Pengguna boleh mengakses apa jua kandungan seperti filem yang ditonton, lagu yang didengar, atau laman web yang sedang dilayari dari mana jua peranti Android lain, kemudian menyambungnya di Nexus Player ini. Ia boleh berhubung dengan akaun Google Play yang akan menyelaraskan semua maklumat pengguna.

Disebabkan ia dikuasakan Android, maka aplikasi dari Google Play boleh dimuat turun ke dalam Nexus Player. Terutama sekali aplikasi berbentuk rancangan video, drama, filem, podcast, berita dan juga permainan. Jika filem yang diingini tidak ada pada aplikasi kegemaran, pengguna boleh mendapatkannya terus dari koleksi Google Play Store.

Sambungan pada Nexus Player terdiri daripada WiFi untuk internet, Bluetooth untuk alat kawalan jauh, dan HDMI untuk sambungan ke televisyen HD pengguna. Alat kawalan jauhnya mempunyai permukaan yang mudah. Hanya ada 4 butang serta pad sentuh untuk mengawal arah atas, bawah, kiri dan kanan.

Nexus Player ini boleh mula ditempah melalui Google Play Store di Amerika Syarikat pada 17 Oktober dan berada di pasaran pada 3 November 2014.