Advertisement

Asus Padfone S Rabu ini, memang berbaloi

Apakah persamaan yang terdapat pada Samsung GALAXY S5 dan juga HTC One M8? Keduanya memiliki spesifikasi yang hampir sama iaitu menggunakan CPU Snapdragon 801 4-teras, 2GB RAM, memori dalaman 16GB, rangkaian 4G LTE serta skrin lebih kurang 5-inci. Satu lagi persamaannya, harga bagi kedua-dua telefon ini ialah sekitar RM2000.

Asus telah memperkenalkan telefon pintar yang memiliki semua spesifikasi seperti dua telefon di atas. Tetapi ada satu perbezaan ketara telefon Asus ini, iaitu harganya. Asus membawakan PadFone S dengan spesifikasi sama seperti GALAXY S5 dan HTC One M8, tetapi pada harga hanya RM899 sahaja. Ya betul, anda tidak silap membacanya, hanya 3 angka, RM899.

PadFone merupakan barisan peranti yang Asus hasilkan menggabungkan telefon pintar dan tablet. Asus telah menghasilkan beberapa PadFone sebelum ini, termasuk PadFone Mini dengan tablet 7-inci. Kali ini Asus membuka langkah baru apabila memperkenalkan PadFone S yang tidak didatangkan sekali dengan pasangan tabletnya, tetapi dijual secara berasingan.

Asus PadFone S dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 801 4-teras dan memiliki 2GB RAM serta 16GB memori dalaman. Ia dilengkapi rangkaian data mudahalih terpantas 4G LTE Cat4 dan sambungan BlueTooth juga NFC. Skrin PadFone S bersaiz 5-inci HD Penuh menggunakan teknologi IPS, memberi pandangan jelas sehingga sudut 178-darjah. Ianya bukanlah telefon kalis air, tetapi memiliki pengesahan IPx2 bagi kalis percikan air. Asus juga mengatakan PadFone S telah lulus ujian jatuh setinggi 150cm (1.5m) bagi memastikan ia tahan lasak. Bagi sistem operasi, PadFone S tersedia dengan Android 4.4 KitKat.

Dari sudut pengimejan, PadFone S mempunyai kamera belakang 13MP serta kamera hadapan 2MP. Asus melengkapkan kamera ini dengan teknologi PixelMasternya yang terkenal pada Zenfone. PixelMaster sangat membantu apabila mahu mengambil gambar dalam suasana malap atau kurang cahaya. Ia terbukti dapat mencerahkan gambar dengan tahap bising paling rendah berbanding kamera telefon lain.

Sebagai sebahagian dari keluarga PadFone, PadFone S mempunyai pasangan tabletnya dengan skrin 9-inci, yang dijual berasingan. PadFone S sendiri memiliki bateri berkapasiti 2300mAH, dan tablet 9-inci pula dilengkapi bateri 4990mAH. Secara tidak langsung, tablet ini boleh membantu memanjangkan jangka hayat PadFone S apabila disambungkan.

Asus Malaysia akan mula menjual telefon pintar PadFone S ini pada 15 Oktober 2014 pada harga RM899. Manakala tablet PadFone S pula dijual pada harga RM499. 2 warna boleh dipilih untuk PadFone S ini, iaitu hitam dan putih. Bagaimanapun, untuk jualan awal pada 15 Oktober ini, Asus hanya menyediakan warna hitam sahaja. Jualan PadFone S berwarna putih akan menyusul kemudian.