Advertisement

BlackBerry Bakal Dijual Kepada Lenovo? Model Z30 Diperkenal Bulan Depan?

Blackberry Z30

BlackBerry Ltd, syarikat Kanada yang sedang bergelut dengan perniagaan mereka kini sedang mempertimbangkan untuk menjual syarikat selepas dikatakan gagal dalam pengenalan barisan produk BlackBerry 10 barunya.

Ahli lembaga juga dikatakan memikirkan peluang lain seperti meneroka perkongsian dengan syarikat lain atau kerjasama seperti yang dinyatakan dalam kenyataannya. Syarikat itu sudahpun melantik JPMorgan Chase & Co sebagai penasihat kewangan mereka.

Selepas kenyataan tersebut, saham BlackBerry terus meningkat 10 peratus dalam pasaran New York kepada $10.78 selepas ditutup, menjadikannya antara pertambahan mendadak dalam sehari sejak Mac lalu.

Terdapat spekulasi, syarikat dari China, Lenovo Group Ltd atau Lenovo antara nama besar yang mahu membeli BlackBerry sebagai salah satu usahanya memajukan perniagaan telefonnya di luar China. Ia diperkuatkan dengan kenyataan ketua pegawai kewangannya, Wong Wai Ming ketika temubual dengan Bloomberg pada Januari lalu yang mengatakan syarikat itu menimbang semua peluang yang ada.

BlackBerry yang mengalami zaman suram telahpun memberhentikan 5,000 pekerjannya pada tahun sebagai salah satu usaha menjimatkan kos operasi sebanyak $1 bilion dan mereka juga mengalami kerugian sebanyak $84 juta akibat jualan model Z10 yang kurang memberangsangkan.

Namun di sebalik kegagalan tersebut, BlackBerry terus bergelumang dengan desas-desus baru apabila kali ini syarikat itu akan meneruskan pelancaran model terbaru Z30 yang dikatakan bakal dijual untuk kelas pertengahan berbanding Z10 yang disasarkan untuk pasaran tinggi.

Z30 yang digelar A10 sebelum ini terdedah dalam satu video reviu yang dilakukan individu di Vietnam (antara negara yang menjadi sasaran BlackBerry dalam meluaskan penguasaannya). Dalam video reviu tersebut yang jelas dihasilkan dalam sebuah kedai telefon Cellphone S, ia menunjukkan individu itu sedang memperkenalkan Z30 yang didatangkan dengan saiz 5.0 inci AMOLED lengkap bersama format 295ppi (1280 x 720 piksel).

Telefon itu bakal menggunakan pemproses dual-core Qualcomm Snapdragon S4 Pro dan dihadirkan bersama kamera beresolusi 8 megapiksel di belakang dan 2 megapiksel di bahagian depan. BlackBerry Z30 dikhabarkan mahu ditetapkan pada bateri berkapasiti 2,800mAh, memori dalaman sebanyak 16GB dan RAM 2GB. dan storan 16GB.

BlackBerry sebelum ini telah menghasilkan peranti Z10, Q10 dan Q5 pada 2013.