BlackBerry Lancar ‘Phablet’ Pertama Mereka, Malaysia Dapat Dulu

Kepada penggemar produk BlackBerry, bersedia dengan berita baru apabila ia baru saja memperkenalkan peranti terbaru, Z30 yang ditawarkan pada harga RM1,998 dan mula dipasarkan secara rasmi pada 5 Oktober ini.

Menariknya, Malaysia menjadi salah satu dari dua negara yang memperolehnya di dunia manakala satu lagi termasuk Hong Kong pada tarikh sama. Ia akan dijual secara rasmi secara eksklusif yang ditawarkan Celcom Axiata Berhad (Celcom) untuk tempoh dua minggu sebelum dijual di pasaran terbuka.

Dengan saiz 5.0iinci, Z30 yang juga 'phablet' pertama BlackBerry akan beroperasi pada platform 10.2 yang dilengkapi dengan 1,600 ciri baru dengan kemaskini stor aplikasinya sudah menjangkau 120,000 aplikasi-aplikasi sehingga kini.

Antara ciri baru dimuatkan dalam BlackBerry Z30 termasuk BlackBerry Now and BlackBerry Natural Sound. Natural Sound bermakna tahap audio ketika membuat atau menerima panggilan lebih jelas berbanding telefon biasa. Saiz telefon ni 5.0 menjadikannya phablet pertama BlackBerry setakat ini.

Skrinnya beroperasi pada format 1280 x 720 piksel pada Gorilla Corning Glass 2 dengan pemproses 1.7GHz Qualcomm Snapdragon S4 Pro bersama GPU QuadCore Adreno 320 selain memori 2GB. GPU tersebut menjadikan telefon ini peranti yang menarik untuk bermain game seperti Asphalt 7 yang dipertontonkan ketika sesi media.

Ia dilengkapkan dengan kamera 8MP dengan ketahanan bateri 25 jam pada pelbagai guna yang menggunakan kuasa 2880mAh. BlackBerry sebelum ini telah menghasilkan peranti Z10, Q10 dan Q5 pada 2013.

Z30 mempunyai sistem antena baru yang membolehkan capaian rangkaian LTE lebih baik yang sesuai untuk Malaysia.

Pengarah Negara BlackBerry Malaysia, Annamalai Muthu yang berbangga mengumumkan negara ini sebagai penerima pertama model ini mengatakan Malaysia antara negara penting apabila melihat pasaran telefon pintar di negara ini menyumbang sehingga 69% untuk jumlah keseluruhan jualan mudah alih.

“Ia peningkatan sehingga 13% dari tahun ke tahun dan kita menyaksikan pengguna negara ini mahukan saiz lebih besar sebagai antara sebab utama membeli peranti pintar,” katanya.

BlackBerry juga mengumumkann dua lokasi di Lembah Klang yang membolehkan pasca jualan syarikat tersebut di pasaran negara mendapat kualiti terbaik seperti baik pulih dan jualan.