Gendang Perang Pilihan Raya Bermula Dengan Aplikasi Telefon

Gendang perang pilihan raya kini sudah berbunyi menandakan pilihan raya umum atau PRU ke-13 bakal berlangsung pada bila-bila masa yang dijangka diadakan pada penghujung bulan April ini.

Pada zaman teknologi moden yang serba canggih ditambah pula penembusan telefon termasuk segmen telefon pintar menjangkau sehingga 142% di negara ini, ia menunjukkan gajet tersebut antara 'mesin mujarab' untuk berkempen manakala pengguna pula bakal mahu mendapatkan maklumat berkaitan pilihan raya dalam telefon mereka.

Salah satu ciri paling menonjol dalam telefon pintar pastinya tertumpu kepada aplikasi dan beberapa aplikasi berkaitan pilihan raya dan parti politik kini boleh diakses dengan mudah kepada pengguna. Antara aplikasi yang sudah berada di platform iOS dan Android adalah Undi PRU 13 yang mempunyai beberapa ciri menarik.

Paling penting, ia boleh menjadi platform untuk menyemak daftar undi anda yang dihubungkan terus kepada akses Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Apa yang perlu anda lakukan hanyalah cari ikon daftar pemilih dalam aplikasi yang mempunyai beberapa laman mukasurat ini.

Aplikasi sama juga memberikan maklumat seperti bekas ahli Parlimen atau DUN kawasan anda dengan info kawasasan juga dimaklumkan di samping keputusan pilihan raya Mac 2008 dan prestasi-prestasi parti politik. Terdapat link yang memaklumkan anda berkaitan peristiwa seperti ceramah dengan menawarkan video terus dari telefon untuk dipilih. Setakat yang dikemaskini pada Ahad lalu, sudah terdapat maklumat berkaitan 727 kawasan lengkap bermaklumat dan lokasi mereka ditag.

Manakala satu lagi aplikasi yang meningkat popular ialah aplikasi dibangunkan sendiri Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal melancarkan aplikasi khas bernama PKR di platform iOS dan Android yang dimuat turun secara percuma bermula 25 Mac lepas.

Memetik laman web mereka, aplikasi itu dilancarkan selepas mengambil kira ruang maklumat yang disekat akibat media perdana yang tidak bebas, KEADILAN menumpukan usaha untuk menggunakan sepenuhnya gabungan telefon pintar dan media social seperti Facebook dan Twitter.

Kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata KEADILAN menjadi parti politik pertama yang membangunkan Apps bersepadu untuk menyebarkan maklumat sepanjang kempen Pilihanraya Umum ke-13 melalui media sosial.

Apps ini mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Membawa berita terkini

  2. Kemudahan semakan daftar pengundi di hujung jari

  3. Bank infografik yang penuh dengan data mengenai isu-isu besar

  4. Video ceramah, sidang media dan aktiviti kempen

  5. Twitter pimpinan utama

  6. Jadual aktiviti dan ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim

  7. Bank profail calon-calon KEADILAN (selepas penamaan calon)

Apps yang dinamakan “PKR” ini dibangunkan untuk platform Apple dan Android buat masa ini. Ia boleh mula dimuat turun di Apps Store dan Google Play dari minggu bermula 25 Mac 2013 dengan jangkaan Dewan Rakyat dibubarkan selewat-lewatnya dalam minggu tersebut. KEADILAN akan mempromosikan Apps ini bermula dari hari ini melalui previu video yang boleh didapati di Youtube.

Tidak ketinggalan, Parti Islam Semalaysia (PAS) menerusi aplikasi PAS Touch n Get yang unik memaparkan beberapa maklumat terus di telefon pintar dengan maklumat berkaitan dua Tok Gurunya iaitu Dato Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Bentara Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dipaparkan pada skrin utama.

Aplikasi PAS lebih memaparkan berita dari dalam atau luar negara berkaitan Pakatan Rakyat dengan ciri sama seperti mana-mana aplikasi berkaitan pilihan raya iaitu semakan daftar pemilih di samping ciri-ciri Islam turut ditonjolkan seperti artikel berkaitan hadith dan doa-doa harian yang dipaparkan pada muka surat berikutnya.

Setakat ini, aplikasi yang dekat dengan Barisan Nasional pastinya BNYouth yang lebih memaparkan peluang sebagai Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) ingin memberi peluang kepada anak muda yang berminat untuk melibatkan diri di dalam jentera pilihanraya.