Jom Uji – HTC One, Gila Terbaik: Android Paling Best, Inikalilah Tukar!

Jom Uji – HTC One, Gila Terbaik: Android Paling Best, Inikalilah Tukar!

Saya sudahpun memegang dan bermain bersama telefon pintar baru HTC One atau nama kodnya M7 dan terus jatuh cinta dengan gajet baru itu yang boleh saya anggap telefon berasaskan Android terbaik setakat ini.

Mungkin berbaloi buat HTC menjalankan kajian sehingga 12 tahun sehingga menjadi pengeluar telefon pertama yang mampu menghasilkan telefon pintar dengan bahan aluminium penuh pertama di dunia dalam produk mereka menerusi HTC One itu.

Sedikit spesifkasi produk tersebut, ia mempunyai ciri pemproses Quad Core 1.7GHz Snapdragon 600, setoran 32GB hingga 64GB, RAM 2GB, Bluetooth 4.0, NFC, LTE dan bateri 2300mAh. Skrinnya pula 4.7 inci pada paparan 468ppi 1080p bersama sistem operasi (OS) Android 4.1.2 dipasang juga dengan HTC Sense paling baru. Dah cukup menarik betul ciri-ciri yang ada dalam telefon tersebut.

Ia jauh bak langit dan bumi jika mahu dibandingkan dengan produk sebelum ini, HTC One baru didatangkan dengan antaramuka Sense yang menampakkan perubahan drastik selepas lima kali dipasarkan. Hasilnya, HTC membawakan ciri sulung pada skrin Home atau muka depan dengan pantas memperkenalkan namanya iaitu BlinkFeed memandangkan kajian syarikat itu yang mendapati corak penggunaan orang ramai yang berbeza bagi mendapatkan maklumat apabila menyentuh telefon buat pertama kali setiap hari.

BlinkFeed membenarkan suapan seperti berita, status laman sosial dan temujanji anda dipaparkan secara terus menerus pada muka depan. Ia hampir sama seperti muka depan dalam telefon Windows Phone 8 tetapi BlinkFeed lebih cantik, segar dan kemas. Kaedah menggunakan BlinkFeed hanya dengan meleretkan jari anda dari atas ke bawah dengan beberapa kotak suapan info dimasukkan bersama misalnya ruang berita ditetapkan pada sebelah kiri atau ruang khas sekali gus. Boleh dikatakan, BlinkFeed berfungsi seakan Flipboard dan ia ditetapkan pada halaman pertama telefon anda.

Berbalik kepada kerangka unibodi atau unibody dalam bahasa Inggerisnya, HTC One disifatkan peranti kukuh yang tidak pernah wujud dalam mana-mana telefon sebelum ini. Tambahan pula, syarikat itu memaklumkan, ia mengambil masa 120 minit untuk menghasilkan satu unit HTC One memandangkan seni rekaan dan kualitinya dikawal rapi. Pada ruang tepi kiri telefon itu, anda mampu melihat butang suara yang turut diperbuat dari aluminium sementara bahagian atas menempatkan butang kuasa selain fungsi sama untuk bertindak sebagai pemancar ‘infrared’. Pendek kata, semuanya aluminium.

Apabila memegangnya, anda pasti rasa lain, ia langsung tidak nampak murah sesuai juga dengan harganya sebanyak RM2,299. Tetapi ada produk lain yang ditawarkan pada harga sama atau murah sikit tetapi apabila memegangnya, perasaan itu biasa saja.

Menarik juga apabila HTC Sense TV yang membolehkan telefon bertindak sebagai alat kawalan jauh. Saya boleh menetapkan butang on atau off TV, saluran Astro dan sebagainya terus dalam telefon ini, menjadikan hidup mungkin lebih mudah jika alat kawalan jauh Astro anda hilang! Selain itu, ia membolehkan anda membawakan foto atau video dalam telefon terus ke TV.

Meskipun kamera hanya dilengkapkan dengan resolusi 4.0 megapiksel, ia bukan penghalang untuk HTC meyakinkan megapiksel itu bukan segala-galanya. Tanggapan di kalangan pengguna yang mengatakan lebih tinggi kiraan megapiksel, lebih tinggi kualiti imej pastinya jauh terpesong. HTC One datang dengan Ultrapixel bermakna mampatan imej lebih padu menjadikan foto lebih terang.

Contoh gambar yang saya rakam pada pukul 7.18 hampir masuk waktu maghrib berdekatan KLCC menjadi bukti. Kadar kecerahan pada waktu malam tanpa bantuan flash pun sudah cukup mengagumkan.

Pada hakikatnya, jumlah megapiksel adalah hanya salah satu daripada banyak faktor yang menentukan kualiti gambar, dengan pengesan dan pemprosesan imej masing-masing memainkan peranan yang penting. Namun begitu, tahun demi tahun pengeluar cuba untuk mengalahkan antara satu sama lain dengan jumlah megapiksel yang tinggi. Bagaimana? Dengan mengurangkan saiz piksel untuk memampatkan lebih banyak piksel yang sering mengurangkan kualiti imej.

Ia memandangkan setiap piksel terpaksa dikecilkan sehingga mengurangkan cahaya dikumpul sehingga mengakibatkan ‘noise’ yang lebih jelas dan kecacatan lain pada kedua-dua imej pegun dan video. Sebenarnya, lebih cahaya masuk, lebih banyak ‘maklumat’ dan perincian boleh dirakam menghasilkan gambar yang sempurna dalam keadaan pelbagai persekitaran. Pendekatan HTC adalah menawarkan lebih besar piksel pengesan baru yang boleh merakam 300 peratus cahaya lebih banyak daripada kamera 13 megapiksel di pasaran. Saya akui, ia hebat!

Hasilnya, lebih besar piksel merakam cahaya dan data, gambar daripada telefon pintar memaparkan lebih banyak warna dan perincian visual indah.

Selain itu, HTC One turut menampilkan HTC Zoe sebagai salah satu mod dalam fungsi gambar yang turut merakam video tiga saat. Anda tidak perlu risau sekiranya mahu merakam foto dan video sekaligus pada satu masa kerana Zoe membenarkan anda berbuat demikian. Lagi satu, katakan ada tiga orang dalam foto anda, anda boleh melakukan magik dengan membuang individu ketiga dengan mudah hanya melalui ciri sunting yang ditawarkan. Tak percaya? Lakukannya sendiri nanti!

Satu lagi ciri, anda bayangkan telefon anda berdering ketika mesyuarat atau dalam kelas, cara paling cepat anda boleh lakukan adalah dengan memegang telefon dan cuba sorokkannya dalam baju secepat mungkin sebelum cuba menutup bunyi dering ataupun bercakap perlahan selepas menjawab panggilan dengan berkata 'Meeting...meeting, telefon balik' atau 'Call balik, call balik'. Tetapi dengan HTC One, tidak perlu berbuat demikian. Kalau telefon berdering, anda terbalikkan saja HTC anda, betul! Hanya terbalikkan dan ia akan senyap. Ada ayat lain untuk deskripsi penerangan ini? Oh ya, anda telangkupkan saja telefon, ia tidak lagi berbunyi dan mesej akan dihantar kepada pemanggil mengatakan anda sedang sibuk.

Keputusannya, seperti yang saya nyatakan di atas, HTC One adalah gajet Android terbaik setakat ini cuma mungkin teknik pemasarannya perlu dipertingkatkan kalau mahu mengalahkan pesaing yang hanya bertempik saja!