Advertisement

Kamera telefon boleh putar macam robot

Selepas lama spekulasi dan hampir tiada gambar benar terbocor, OPPO hari ini melancarkan telefon dengan kamera boleh putar terbarunya, N3. Sebelum ini, N1 telah diperkenalkan dengan kamera belakang yang boleh diputar ke depan untuk mengambil selfie pada kualiti terbaik.

OPPO N3 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 801 4-teras berkelajuan 2.3GHz, 2GB RAM dan 32GB memori dalaman. Ia menampilkan skrin sebesar 5.5-inci HD penuh 1920×1080, dan menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 3 yang tahan lasak.

Perkara paling menarik dan unik pada N3 ini, ialah kameranya. Seperti N1 yang lepas, N3 mempunyai kamera belakang yang boleh diputar ke depan. Kali ini, OPPO menjadikan kamera belakang N3 boleh berputar sendiri. Ia boleh diputarkan dari belakang ke depan secara automatik atau manual. Hidupkan aplikasi kamera, pilih kamera hadapan dan ia akan berputar sendiri ke depan.

Gambar panorama kini boleh diambil lebih mudah, tanpa perlu menggerakkan telefon lagi. Pengguna hanya memegang telefon pada satu kedudukan, aktifkan mod panorama dan kamera akan berputar sendiri untuk merakam gambar secara panorama.

OPPO juga melengkapkan lagi kemampuan kamera ini, dengan fokus pengesan sasaran. Video boleh dirakam menggunakan fokus pengesan sasaran dan kamera akan berputar mengikut pergerakan subjek yang difokus, menjadikan video lebih stabil dan subjek kekal fokus di dalam rakaman.

Selain itu, OPPO bekerjasama dengan Schneider Optics dalam menghasilkan lensa kamera N3 ini. Dengan ini, ia membolehkan gambar yang diambil pada 16MP, dinaik taraf kepada kualiti 64MP, bagi yang memerlukan gambar lebih besar berkualiti tinggi serta kekal jelas dan tajam. ia juga dibantu pemproses Pure Image 2.0 Plus, yang membuat tetapan kecerahan, fokus, pengesanan muka dan lain-lain lagi sekelip mata sebelum pengguna habis menekan rakaman gambar.

Terdapat beberapa cara untuk memutarkan kamera belakang ke depan. Pengguna boleh memilih mod kamera depan dari dalam aplikasi kamera sendiri. Cara kedua, dari skrin aplikasi kamera, hanya sapu skrin dari atas ke bawah untuk memutar ke depan, atau sapu dari bawah ke atas untuk memutar ke belakang semula. Cara seterusnya, menggunakan O-touch di belakang dan menyapu sedikit demi sedikit untuk mendapatkan putaran sudut yang dimahukan.

Pengguna juga boleh mengawal kamera pada N3, dari jarak jauh menggunakan O-click 2.0 yang baru. Tekan lama butang pada O-click untuk mengaktifkan kamera, dan menggunakan arah atas, bawah, kiri dan kanan untuk mengawal sudut kamera, kemudian tekan butang sekali lagi untuk mengambil gambar.

Beberapa perkara lain yang baru pada N3 ini ialah seperti pengimbas cap jari yang terletak di belakang, serta OPPO Skyline yang menampilkan lampu notifikasi di bawah telefon dan boleh dilihat dari depan atau belakang.

N3 juga dilengkapi teknologi pengecasan pantas OPPO yang popular, iaitu VOOC mini yang kini tampil lebih kecil, tapi mengekalkan kemampuan mengecas 75% bateri dalam masa 30 minit. Malah, cas selama 5 minit akan membolehkan pengguna membuat panggilan dan bercakap selama 2 jam lamanya.

OPPO N3 dijangka akan mula dijual di pasaran antarabangsa bermula November 2014, dan tiba di pasaran Malaysia pada Disember 2014. Ia boleh didapati dalam warna putih, dengan harga yang diumumkan pada USD649 (~RM2199).