Klon apps dalam Google Play

Tahukah anda lebih 80 peratus daripada 50 aplikasi yang berada dalam senarai kedudukan teratas Google Play dikesan pasti mempunyai aplikasi klon yang boleh mengancam keselamatan telefon pintar pengguna.

Contohnya, jika senarai teratas ialah Angry Birds, sudah pasti akan ada aplikasi yang cuba meniru aplikasi burung yang dihasilkan Rovio tersebut dan dimuat turun pembangun ke Google Play.

Kajian mengenainya dilakukan Trend Micro yang juga mendapati 100 peratus aplikasi kategori widget, media dan video serta kewangan mempunyai aplikasi klon yang membimbangkan.

Kebanyakan aplikasi terbabit mempunyai malware yang mampu memberi kesan kepada telefon dan pengguna.

Aplikasi klon sebegini boleh mengakibatkan kebocoran data dan kehilangan wang ringgit.

Pengguna dinasihatkan memindah turun hanya aplikasi yang benar-benar dipercayai selain memasang aplikasi keselamatan bagi mengesan sebarang kegiatan yang tidak diingini.

Sehingga April tahun ini, lebih 59,185 daripada 890,482 sampel aplikasi palsu yang dikaki mempunyai virus jenis adware manakala 394,263 pula dikategorikan sebagai malware.

Kajian sama juga menunjukkan 50 peratus aplikasi klon yang dibangunkan berniat jahat.

Dua jenis aplikasi utama juga dikesan termasuk ‘rogue’ dan ‘repackaged’ yang mana ia kerap didapati dipindah turun pengguna tanpa disedari.

Jenis aplikasi rogue seperti Virus Shield misalnya kononnya dibangunkan untuk keselamatan pengguna serta dijual pada harga kira-kira RM12 di Google Play serta dipindah turun sebanyak 10,000 kali pada minggu pertama di Google Play.

Namun, ia didapati aplikasi yang langsung tidak menawarkan apa-apa perlindungan kepada pengguna dan ia mengupah botnet untuk menampakkan jumlah pindah turun yang banyak bagi mengelirukan pengguna.

Satu lagi jenis aplikasi, repackaged pula bertindak sebagai aplikasi yang kononnya popular tetapi sudah dipasang trojan tanpa dikesan secara fizikal oleh pengguna.