Nak telefon atau kamera?

Telah menjadi kebiasaan sejak kamera diciptakan, pengguna akan membawanya ke mana saja mereka pergi, sama ada bercuti, makan malam, sukan dan bermacam-macam lagilah. Lagipun, sudah ada beberapa jenis kamera yang berada di pasaran iaitu jenis kompak digital atau DSLR.
Tetapi tidak beberapa lama kemudian, telefon berkamera yang mula-mula dilancarkan selepas tahun 2000 menjadikan dunia fotografi semakin canggih dan banyak pilihan. Perubahan dengan memasang kamera pada telefon memberi pilihan baru sehinggalah telefon pintar yang diperkenalkan menambah lagi senario menarik. Tambahan pula, pelbagai aplikasi yang didapati untuk fungsi fotografi menjadikan telefon lebih digemari pengguna berbanding kamera.
Malah, ada yang mengatakan, mereka tidak lagi perlu menggunakan kamera digital untuk bertindak sebagai media fotografi tetapi terus menggunakan telefon sebagai kamera utama mereka. Pastinya alasan paling jelas ialah telefon gajet nombor satu dibawa ke mana-mana saja.
Oleh itu, membawa dua gajet sekaligus iaitu telefon dan kamera nampak tidak praktikal. Tetapi ramai juga mengeluh kerana kualiti kamera dalam telefon tidak setanding dengan kamera sebenar. Memang benar, kamera tetap kamera, telefon tetap telefon.
Trend pengguna sekarang menyaksikan mereka mahu menangkap gambar dan menghantarnya terus ke aplikasi fotografi sosial seperti Instagram, atau mahu terus mengemaskini status dengan menyertakan gambar ke Facebook atau berkongsi di Twitter yang kesemuanya mudah dilakukan hanya menggunakan telefon pintar.
Kalau gunakan kamera? Agak leceh. Anda menekan butang rakam. Kemudian gambar akan disimpan dalam kad memori. Perlu keluarkan kad memori sebelum dimasukkan dalam pembaca kad. Seterusnya, perlu memindahkannya ke PC sebelum barulah dimuat turun dalam internet.
Dilemanya sekarang? Saya mahukan kamera sebab kualiti gambar lagi bagus tetapi telefon lagi penting sebab boleh 'upload' terus. Mana satu yang perlu dipilih? Tepuk dada tanya selera. Di Malaysia, ada dua produk yang sudah siap untuk dibeli jika mahukan kamera yang memuat naik gambar terus ke Facebook, Twitter atau Instagram.
Produk yang saya maksudkan ialah Nikon S800C dan Samsung Galaxy Camera.
Nikon S800C menggunakan sistem operasi Android Gingerbread 2.3 yang lengkap dengan skrin 3.5 inci bersama resolusi 16 megapiksel membolehkan pengguna mengedit gambar atau video secara terus dan berkongsinya menerusi capaian WiFi. Lebih hebat, anda juga boleh melakukan aktiviti lain seperti memeriksa e-mel, melayari internet dan menyemak dokumen. Kamera tersebut menggunakan fokus zum optikal berkuasa 10 kali lengkap dengan lensa yang disediakan, NIKKOR 4.5-45.0mm.
Samsung pula mempunyai dua rangkaian sekaligus iaitu 3G dan WiFi cukup dengan platform mudah alih terkini Android Jelly Bean 4.1. Anda boleh memasukkan kad sim terus di dalamnya bagi mendapatkan data dan ditawar pula storan 25GB di aplikasi dinamakan Loker sehingga setahun.
Adakah anda masih berfikir untuk mendapatkan kamera ber'Android'?