Senario yang biasa kita lihat ketika membeli air minuman di kedai serbaneka seperti 7-Eleven biasanya begini: Masuk dalam kedai, pilih sebotol air dan kemudiannya terus menuju ke kaunter bayaran... buka dompet, bayar dan beredar.
Nampak tak? Senario yang sudah berpuluh-puluh tahun dipraktikkan dengan kertas wang ringgit menjadi satu-satunya medium untuk transaksi kewangan. Hulur saja duit dan anda akan dapat barang dibeli. Bukan setakat di kedai serbaneka sahaja tetapi ia dipraktikkan di semua peruncit selagi anda tidak menggunakan kad kredit.
Tetapi, adakah ia lebih baik kalau kita mampu mempraktikkan cara bayaran baru menggunakan teknologi NFC iaitu Near Field Communication yang sudah digunakan di beberapa negara maju seperti Jepun, Jerman dan Hong Kong.
Cip NFC dimuatkan bersama dalam telefon bimbit (biasanya telefon pintar) di mana bayaran akan dimasukkan terus dalam bil telefon anda. Ia biasanya didapati menerusi kaedah cip yang ditetapkan bersama telefon pintar yang boleh menyimpan data dengan selamat dan boleh bertukar tanpa wayar pada jarak yang pendek saja.
Mudahnya, ia seakan bluetooth tetapi sambungannya lebih tepat dan berkesan dengan format rangkaian mampu dilaksanakan di antara dua mesin iaitu telefon dan penerima di kedai secara mudah. Kalau diteliti, mesin yang membaca data NFC kebanyakannya telah siap sedia ada di premis seperti restoran makanan segera, kedai runcit tertentu, kafe dan stesen minyak.
Tapi biasanya ia menerima isyarat dari kad kredit dan debit sahaja. Sebenarnya, teknologi hampir sama boleh digunakan dalam NFC cuma ia tidak meluas memandangkan syarikat telefon belum bersedia menanam cip tersebut bersama produk mereka tetapi kini ia meluas sejak setahun kebelakangan ini. Lagipun, industri pembayaran secara online ini dijangka akan bernilai lebih RM3.2 trilion apabila tahun 2016 masuk nanti.
Ada juga yang mengatakan telefon dengan kemudahan atau spesifikasi NFC terlalu mahal untuk dimiliki tetapi ada juga cara lain ia boleh dimurahkan. Terdapat syarikat yang menjual kad sim siap dengan ciri NFC. Setakat ini mungkin ada 3 syarikat di seluruh dunia bermakna mereka boleh bekerjasama sendiri dengan syarikat telekomunikasi untuk memberikan kemudahan tersebut. Kad sim sama boleh dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan daripada 6 bilion pengguna telefon bimbit di seluruh dunia iaitu 85% daripada penduduk dunia, hanya lebih kurang 25% yang menggunakan telefon pintar. Ia bermaksud, terdapat 4.5 bilion orang yang menggunakan telefon tapi ia bukan telefon pintar.
Di Malaysia, ada lebih kurang 102% penembusan telefon (mungkin ada yang memakai lebih dari satu telefon jika anda bertanyakan mana datangnya 2% tersebut). Jadi ia potensi besar untuk memanfaatkan bayaran secara NFC. Masalahnya di negara ini, syarikat peruncit masih belum mempercayai dan teragak-agak untuk menggunakan teknologi ini.
Mungkin kerana mereka tidak mendapat bayaran secara terus dari pihak telekomunikasi yang mengecaj bayaran kepada pengguna. Kalau transaksi kad kredit mengambil masa tiga hari untuk diselesaikan di antara peruncit dan syarikat kewangan, berapa lama pula ia akan mengambil masa di antara peruncit dan syarikat telekomunikasi?
Itulah yang menyebabkan NFC belum terlaksana di negara ini apatah lagi dengan kebimbangan kaedah bayaran yang liat dibayar pengguna. Ada yang mempunyai kadar tunggakan bil RM100, ada yang sekadar RM11.80 tetapi ada juga yang mencecah ratusan ringgit.
Mungkin juga ia menyebabkan syarikat telekomunikasi takut untuk menawarkan perkhidmatan bayaran menggunakan telefon, takut pengguna liat membayar bilnya nanti. Jadi, kerjasama kesemua pihak perlu diteliti bagi teknologi ini dilaksanakan di Malaysia. Ada banyak hal yang perlu diteliti namun tidak mustahil ia mampu dilaksanakan dengan segera untuk manfaat bersama.
