Setiap kali saya melayari internet saya akan mengucapkan terima kasih kepada arwah Ronald Reagan. Presiden Amerika inilah yang telah membebaskan sistem internet ini untuk kegunaan warga dunia. Sesudah tamatnya Perang Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989, kuasa imperial Amerika berkeyakinan bahawa sistem internet yang dimiliki oleh Jabatan Petahanan Amerika dibebaskan untuk kegunaan orang awam.
Justeru, internet ini saya anggap sama seperti Lucy yang hidup 3 juta tahun dahulu di Lembah Awash Ethiopia. Lucy datuk nenek moyang manusia yang pertama telah berani bangun berdiri tegak untuk berjalan. Keberanian Lucy berjalan tegak dan tidak merangkak telah mengubah dunia untuk selama-lamanya. Sistem komunikasi internet yang diwujudkan pada tahun 60-an di Lembah Silicon juga sedang mengubah dunia untuk selama-lamanya.
Kesampaian sistem perhubungan komunikasi manusia dengan manusia melalui internet telah membuka satu lembaran baru dalam arus kedepan tamadun manusia. Sama seperti manusia menemui api - ianya boleh membawa kebaikan dan juga kemudaratan.
Bayangkan hari ini saya tidak lagi perlu meninggalkan kamar bacaan untuk berjalan ke perpustakaan. Di meja saya, sedia terletak gedung buku yang tidak wujud 15 tahun dahulu. Buku dari Library of Congress, British Library, Bibliotheque Nationale de France atau dari perpustakaan mana sahaja dalam dunia ini - dapat saya layari.
Semua dokumen, buku dan khazanah di dalam perpustakan ini akan muncul jika saya ingin melihat dan membacanya. Hanya dengan meng'klik' punat komputer, saya berkemungkinan membaca sehingga hari kiamat.
Saya tidak lagi dapat mengingati bagaimana hidup saya sebelum talian internet ini disambung ke bilik saya. Internet hari ini telah menjadi sebahagian dari darah daging keperluan kehidupan manusia pasca moden. Kalau 800 tahun dahulu, ahli falsafah Rene Descartes berkata: 'Saya berfikir, maka saya wujud.' Hari ini saya berkata: 'Saya berinternet, maka saya wujud'.
Saya pernah menulis untuk merayakan kesampaian internet. Tulisan-tulisan awal saya merayakan internet digarap ketika sistem 'dial' masih digunakan. Pada ketika itu, talian saya selalu 'hung' dan '404'. Ini terjadi hanya beberapa tahun dahulu.
Tetapi kemajuan teknologi komunikasi ini telah meledak sehinggakan pada hari ini saya tidak perlu ke London untuk membaca The Guardian atau ke Paris untuk mendapatkan Le Monde. Saya tidak perlu melanggan Astro untuk melihat berita dunia - semuanya terhidang diatas meja saya.
Apa yang saya rayakan ialah pecahnya hegemoni daulah dalam mengawal dan mengekang maklumat. Untuk saya, pemecahan hegemoni dan monopoli daulah ini adalah satu pertanda yang amat baik. Sesiapa yang memiliki maklumat bermakna memiliki kuasa. Ilmu pengetahuan ialah kuasa.
Internet telah mendemokrasikan ilmu pengetahuan. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh 'claim' bahawa mereka sahaja yang mendapat wahyu atau memonopoli ilmu pengetahuan - justeru yang lainnya menjadi hamba pengikut.
Hari ini apa sahaja maklumat yang ingin diketahui akan ditemui dalam alam siber malalui talian internet. Jika teringin untuk membuat Pâté de foie gras, atau ingin membuat bom nuklear, semuanya boleh dicari dalam internet. Apa yang diperlukan hanyalah keinginan untuk belajar dan mempelajari.
Justeru, kemunculan internet ini telah mula mencabar rejim dan kerajaan yang zalim di seluruh dunia. Di China, Arab Saudi, Azerbaijan, Belarus dan Korea Selatan adalah diantara negara yang melakukan penapisan terhadap internet. Iran, Myanmar dan Tajikistan adalah diantara negara 'terjahat' dalam mengekang warga dari belayar bebas dalam alam siber.
Negara China adalah yang terburuk kerana telah mendirikan 'firewall' untuk menghalang akses bebas internet. Justeru warga China tidak mengetahui apa itu Facebook atau apa itu YouTube.
Dalam negara dimana sistem kenegaraan berat sebelah, tidak demokratik atau zalim, maka rejim yang berkuasa melihat internet ini sebagai musuh. Kehadiran maklumat secara terbuka kepada warga ditafsir sebagai satu yang 'subversif' dan boleh menggugat rejim yang berkuasa.
Ketika kita melihat ke negara luar, wajib juga kita melihat apa yang sedang belaku dalam rumah kita sendiri. Negara Malaysia memiliki ruang demokrasi yang sempit. Ada pelbagai Akta yang mengawal maklumat untuk memastikan warga Malaysia akan terus tunduk setia kepada United Malays National Oganisation.
Sebagai negara kapitalis, Malaysia telah membuka pintu untuk menjemput pelaburan dari syarikat multinasional. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri telah mendirikan apa yang dipanggil Multimedia Super Corridor (MSC). Dia menjemput pelabur dan teknokrat teknologi maklumat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat baru dalam bidang komunikasi.
Niat dan akidah Mahathir Mohamad melalui MSC tidak ada sangkut paut dengan ruang demokrasi atau hak asasi warga untuk mendapat maklumat secara bebas merdeka, Mahathir Mohamad merancang MSC kerana ternampak peluang perniagaan setelah terbukti kejayaan wilayah Bangalore di India.
Salah satu cara untuk menarik pelaburan ini ialah dengan mempersetujui bahawa tidak ada 'firewall', tidak ada penapisan dan tidak ada kekangan ke atas lalu lintas sistem komunikasi internet.
Kaum pemodal multinasional yang ingin melabur di wilayah MSC selain dari mendapat keselesaan cukai telah juga dijanjikan yang talian internet mereka tidak akan diganggu-gugat. Ini satu piagam yang baik untuk lalu lintas maklumat.
Perkembangan warga menggunakan internet di Malaysia cukup besejarah. Tidak lama sesudah wujudnya internet - muncul Gerakan Reformasi pada tahun 1998. Gerakan ini dengan cekap dan bijak telah mengambil internet sebagai senjata ampuh untuk membuka ruang demokrasi.
Ketika ini muncul laman-laman seperti Mahazalim, DotMai, Reformasi Nasional yang dijadikan teras menyalurkan maklumat Reformasi. Penggerak laman-laman ini melihat kezaliman telah dilakukan oleh Mahathir Mohamad ke atas Anwar Ibrahim.
Apabila sejarah Reformasi ditulis, maka tidak dapat tidak, internet akan dicatit sebagai protagonis utama yang membentungkan pendapat umum untuk bangun melawan. Laman-laman ini, walaupun taliannya tidak sepantas yang wujud hari ini, telah menjadi suara propaganda yang ampuh. Gerakan Reformasi telah mendorong warga Malaysia menjadi kaum kerabat 'online'.
Internet yang bergerak dibawah tanah telah berjaya melintasi Akta Mesin Cetak. Parti-parti pembangkang untuk pertama kalinya telah dapat memunculkan suara dan pandangan mereka. Sejarah akan merakamkan tanda hormat kepada Sang Kancil. Ini adalah pemula 'e-group' yang membuka debat dan perbincangan secara bebas di alam maya. Sang Kancil di zaman Reformasi telah menjadi 'rukun iman' yang wajib dibaca oleh sesiapa sahaja yang bersimpati mahupun yang menentang Gerakan Reformasi.
Kemunculan Malaysiakini 11 tahun dahulu juga telah mengubah lanskap politik penyampaian maklumat di negara ini. Jelas warga di Malaysia tidak lagi dapat dipaksa untuk menerima maklumat sehala dari RTM, Utusan atau Sin Chew.
Ini satu yang ironi kerana ikon zalim yang direjam oleh Gerakan Reformasi melalui laman Mahazalim dan Mahafiraun ialah Mahathir Mohamad sendiri. Mahathir ialah sosok yang bertanggungjawab membawa masuk internet.
Sahih terbukti bahawa talian internet telah memecahkan hegemoni maklumat. Maklumat yang bebas berkeliaran ini telah mengakibatkan runtuhnya kuasa hegemoni United Malays National Organisation. Tembok Barisan Nasional runtuh terbarai dalam pilihanraya 8 Mac 2008 lalu.
Minggu lalu saya terbaca berita bagaimana Mahathir Mohamad seolah-olah 'menyesal' memperkenalkan internet kepada warga Malaysia. Kenyataan ini disambut oleh Menteri Penerangan yang juga sekepala dengan Mahathir Mohamad. Mereka ini berlagak sebagai 'Mak Nenek' ingin menjaga moral orang ramai yang dilihat telah merosot kerana pengaruh internet.
Seperti biasa, keberahian seksual telah digunakan untuk mengolah persetujuan. Mengikut Mahathir Mohamad terlalu banyak laman porno dan laman seks yang telah membawa keruntuhan moral rakyat Malaysia. Mengikut Mahathir, internet ini perlu dikekang agar anak-anak kecil yang suci bersih tidak terjerumus ke alam siber yang penuh dengan laman porno dan keganasan.
Sayugia diingatkan bahawa semua rejim yang zalim akan mengolah persetujuan warganya dengan menggunakan keberahian seksual untuk menakut-nakutkan warganya. Moral dan seksual dari zaman berzaman telah dijadikan alasan untuk menghalalkan kezaliman dan kemungkaran. Ayat-ayat suci dari kitab-kitab agama telah digeledah untuk dijadikan rujukan demi memperkukuh hujah moral ini.
Apa yang sebenarnya sedang berlaku?
Untuk saya 'Arab Spring' telah mula menakutkan semua rejim yang zalim. Pemikiran anak-anak muda yang sentiasa 'anti-establishment' dan sentiasa bersedia untuk berdemo di jalan raya kini dapat dibentungkan malalui blog, YouTube dan twitter. Kepada rejim yang zalim, semua perkembangan ini amat-amat menakutkan.
Ketika kita semua heboh dengan duit rezeki RM 500, ketika kita semua heboh dengan 8 Tuntutan Bersih - kerajaan Najib Razak dengan licik telah membuat undang-undang baru. Pindaan Akta Keterangan Seksyen 114(A) telah diluluskan tanpa pengetahuan ramai. Secara senyap-senyap pindaan ini telah diluluskan tanpa perdebatan dalam Parlimen.
Sebelum ini undang-undang Malaysia berpandukan : Orang Kena Tuduh TIDAK dianggap salah. Pendakwa wajib membuktikan kesalahan.
Kini semuanya terbalik. Orang Kena Tuduh adalah BERSALAH, maka Yang Dituduh wajib membuktikan yang dia tidak bersalah kepada mahkamah.
Pindaan Akta Keterangan ini bertujuan untuk mengawal dan mengekang internet. Akta ini mengakibatkan pengguna internet - sesiapa yang menyediakan ruangan forum dan pertukaran pendapat secara interaktif - dipertanggungjawabkan terhadap apa-apa kandungan yang tersiar di laman web, blog, mahupun halaman Facebook mereka. Ini termasuk kandungan yang dimuatnaik oleh orang lain yang tidak diketahui siapa.
Contohnya Si Pemilik Blog atau Facebook yang menerima komen yang mengandungi fitnah dan tohmah, maka tuan empunya blog atau Facebook ini akan dianggap bersalah. Walaupun yang menghantar komen itu tidak ada nama, muka atau alamat.
Disini kemungkinan unsur sabotaj akan berlaku. Atau unsur dendam-mendendam. Atau sengaja membuat aniaya terhadap seseorang. Saya hanya sedar tentang Pindaan Akta Keterangan ini minggu lalu, apabila Center for Independent Journalism (CIJ) mula berkempen untuk melawan pindaan ini.
Bila saya terbaca surat CIJ ini, maka saya melihat jelas dan memahami kenapa Mahathir Mohamad dan Rais Yatim membuat kenyatan 'Mak Nenek' itu.
Hari ini Perdana Menteri Najib Razak sedang dikepung oleh pelbagai masalah dari Pekan ke Malta hingga ke Paris. Maka Mahathir Mohamad kelihatan telah mengambil alih peranan Najib dengan membuat beberapa dasar baru.
Manakala Rais Yatim melihat RTM menjadi 'irrelevant', tidak berfungsi. Menteri Penerangan ini berharap jika internet dapat dikawal mungkin ada 20 ke 30 orang penonton baru yang ingin melihat stesen ini
Cita-cita dan niat untuk mengawal internet ini sebenarnya adalah mimpi. Teknologi hari ini tidak mungkin lagi boleh dimonopoli oleh Presiden, Jeneral atau Menteri.
Undang-undang boleh dilulus untuk mengawal internet. Firewall boleh didirikan. Pindaan undang-undang boleh diluluskan. Tetapi internet seperti yang dirancang oleh CIA dan Jabatan Pertahanan Amerika akan terus dapat bergerak dengan ekor barunya walau pun kepalanya telah putus.
Kepada rejim yang zalim, diharapkan mereka sedar bahawa lanskap dunia telah berubah. Ini samalah seperti Lucy yang telah berdiri diatas dua kaki untuk berjalan.
Perjalanan Lucy in hanya tamat bukan dengan pindaan Akta Keterangan Seksyen 114(A), tetapi apabila dunia kiamat. Mengawal internet samalah saperti mengawal manusia dari bercakap.
END
