Yahoo! Malaysia Newsroom

Estetika gemuk montok dan hotok

Ketika saya tinggal di Pakistan pada tahun-tahun 70'an dahulu, saya telah difahamkan tentang nilai estetika warga Pakistan. Saya diberitahu bahawa jantan dan betina Pakistan yang gemok dan montok adalah mereka yang berjaya. Mereka ditakrifkan sebagai warga dari kelas atasan yang berekonomi tinggi. Mereka berjaya dalam hidup. Justeru hampir ke semua Begum dan Sahib di Pakistan semuanya gemuk, montok dan hotok.

Gemuk dan hotok sedang dirayakan sebagai estetika kejayaan. Manakala para mazdoor dan kisan - buruh dan tani - kelihatan kurus dan langsing ditakrif sebagai bukti mereka dari kelas bawahan yang kurang makanan. Justeru kurus, slim dan langsing dianggap gagal dalam hidup.

Budaya dan estetika berbentuk ini juga dirayakan di Tiongkok. Malah, begitu penting sekali, seseorang untuk dilihat montok sebagai keupayaan memiliki makanan. Tidak menjadi satu kehairanan jika didalam budaya Tiongkok tidak ada konsep - apa khabar - bila bertemu. Bertegur sapa dimulakan dengan pertanyaan - sudah makan atau belum.

Pada tahun 2004, WHO - World Helath Organisation - lembaga kesihatan Bangsa-Bangsa Bersatu telah melancarkan Kempen Anti-Obesity. Ini sebenarnya satu kempan yang seharusnya telah dijalankan awal lagi. Mengikut statistik WHO, dalam dunia hari ini terdapat 22 juta kanak-kanak dibawah umur 5 tahun yang gemuk dan hotok.

Saya menganggap kempen Anti-Obesity WHO ini juga tidak akan sampai ke tempat yang dituju kerana salah sasaran. Seharusnya WHO mengadakan Kempen Anti Gemuk. Untuk saya ini lebih tepat. Pandangan saya ini juga selari dari debat yang telah berjalan di United Kingdom dua tahun dahulu.

Warga Britain juga sedang dihantui oleh masalah gemok. Gemuk telah membawa permasalaah kesihatan yang besar kepada National Health Service (NHS) dan belanjawan negara. Justeru untuk  menyambut kempen Anti Obesity WHO, lembaga British Medical Association (BMA) dan National Health Service United Kingdom telah membincangakan pengunaan perkatan obes. Lembaga-lembaga ini telah berbincang, sama ada menggunakan perkataan 'obese atau fat' - obes atau gemuk. Perkataan mana yang lebih tepat untuk menuju ke sasaran.

Media BBC pada 20 Julai 2010 yang lalu telah memetik kata-kata menteri kesihatan Ms Anne Milton - "If I look in the mirror and think I am obese, I think I am less worried [than] if I think I am fat." Dalam Bahasa Melayunya menteri kesihatan ini telah berkata - "Kalau saya melihat cermin dan saya anggap diri saya hanya obes, maka saya tidak menjadi risau berbanding kalau saya anggap diri saya gemuk,"

Justeru, ini memperkukuhkan anggapan saya bahawa  perkataan obes ini tidak memiliki apa-apa makna yang mendalam. Dari segi psikologinya, perkataan ini terlalu asing dan baru diperkenalkan ke dalam budaya kita. Justeru, ianya tidak memiliki nilai budaya yang kita harapkan. Dalam budaya Melayu, belum ada kedengaran nama Kak Mah Obes atau Mak Long Obes tetapi kita sering mendengar nama Kak Mah  Gemuk atau Sudin Montok.

Justeru, saya mencadangkan kita menolak perkataan obes ini dan kembali menggunakan perkatan gemuk, montok dan hotok. Tiga perkataan ini memiliki nilai yang tepat jika kita ingin menyambut kempen WHO untuk mengurangkan gemuk yang kini sedang meghantui dunia.

Jangan tersilap baca dan tersilap anggap. Tulisan saya ini bukan bertujuan untuk menghina orang gemuk. Malah saya sendiri dan kawan-kawan saya juga sedang berperang untuk melawan gemuk.

Penentangan terhadap gemuk kerana gemuk telah dibuktikan sebagai sarang dan tempat berkumpulnya pelbagai penyakit. Dari kencing manis, darah tinggi, barah, serangan angin amar dan dan dan.. Justeru gemuk wajib dilihat sebagai musuh utama. Negara membayar bil yang cukup tinggi kerana gemuk.

Tetapi sebelum kita meyerang gemuk, mari kita memahami dari mana datangnya gemuk, montok dan hotok. Untuk ini, kita tidak perlu mempertikaikan lagi bahawa gemuk badan datangnya dari apa yang kita makan. Wujudiah kita adalah hasil pemakanan kita. Hakikat ini telah diterima oleh lembaga perubatan, persatuan doktor, para saintis makanan dan orang ramai. Justeru kita tak perlu mempertikaian fakta ini.

Saya ingin membawa para pembaca ke satu ketika - 40 tahun dahulu dimana adalah amat mustahil untuk kita terserempak dengan Mak Cik dan Pak Cik yang gemuk dan hotok. Jauh sekali untuk kita bertemu dengan anak dara atau bujang muda yang montok. Paling mustahil ialah bertemu dengan kanak-kanak yang gemuk.

Ketika saya memasuki kelas darjah 1 pada tahun 1957, tidak ada seorang pun rakan sekolah saya yang gemuk. Malah hampir kesemua 200 lebih anak murid di sekolah kelihatan langsing, kurus dan ceria. Ketika saya di Universiti Malaya pada tahun 70'an - dalam ingatan saya TIDAK ada kelihatan mahasiswa mahu pun mahasitua yang gemuk dan montok.

Begitu juga dikalangan pensyarah.  Ketika itu semuanya kurus, langsing dan menepati Body Mass Index (BMI). BMI ialah kiraan perubatan yang tepat antara tinggi badan dengan berat badan.

Tetapi hari ini estetika BMI kita telah terganggu dan berubah. Sebagai bukti, sila duduk di kawasan rehat di lebuh raya utara selatan. Sila perhatikan warga yang datang untuk berehat dalam perjalanan. Perhatikan berapa ramai yang gemuk dan hotok berbanding dengan yang kurus dan langsing.

Malah, paling menakutkan ialah memandang ke pinggan atau mangkuk di hadapan mereka. Lihat apa yang sedang mereka sumbatkan ke dalam tembolok mereka. Untuk lebih menggerunkan, sila lihat jam. Akan terbukti bahawa ramai warga makan tidak mengikut masa dan waktu.

Untuk saya, makanan moden adalah musuh pertama. Gula yang datang menyamar dalam pelbagai bentuk kini sedang menyerang estetika Minah Cun dan Mamat Jambu - anak semua bangsa. Gula adalah musuh yang telah diketahui ramai. Warga semakin sedar dan sedang bertempur melawan gula.

Tetapi Awas!  Ada satu lagi musuh yang amat besar. Musuh besar ini ialah AYAM - yang pada anggapan saya bertanggungjawab merosakkan kecantikan bentuk badan warga Malaysia.

Saya anggap serangan dari daging ayamlah yang telah menyebabkan estetika badan-badan yang dulunya slim-melim, kini membusut jantan. Estetika sosok warga Malaysia anak semua bangsa sedang diubah oleh daging ayam.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui ayam yang kita beli dipasaran itu umurnya tidak sampai 2 bulan. Dari telor menentasnya hingga daging ayam sampai ke meja makan - ianya hanya mengambil masa antara 35 ke 45 hari. Yang saya timbulkan disini bukan umur ayam ini, bukan cara ayam ini dipelihara, bukan sebab ayam ini tidak pernah memijak bumi dan bukan juga tentang kurangnya cahaya matahari yang membakar ayam ini. Apa yang menakutkan ialah apa yang telah dimakan oleh ayam-ayam ini.

Dalam masa 45 hari, apa telah yang dimakan oleh ayam ini akan menjadi makanan oleh sesiapa sahaja yang membeli ayam ini. Ayam-ayam daging ini telah diberikan makanan khusus untuk memastikan ianya gemuk dan montok. Ayam-ayam ini telah diberi pelbagai jenis hormon untuk memastikan ianya sehat dan membesar dengan montok. Hormon dan kimia ini menjadi darah daging ayam ini. Semua hormon dan kimia ini dalam masa 45 hari akan menjadi darah daging sesiapa sahaja yang memakan ayam ini. Sahih ayam ialah  pengemok.

Satu ketika dahulu - ikan adalah sumber protein kita. Masakan dan hidangan gulai ayam hanya untuk hari-hari perayaan. Ketika kenduri, ketika berhari raya - gulai rendang atau ayam goreng akan dihidangkan. Semuanya telah berubah. Harga ikan telah menjadi mahal. Harga satu kilo ikan kembung boleh membeli seekor ayam. Harga satu kilo ikan tenggiri berkeupayaan membeli 6 ekor ayam. Justeru ayam kini menjadi sumber protein utama kita.

Kempen dari WHO untuk melawan gemuk ini akan gagal. Memang betul kita semuanya wajib melakukan senaman. Tetapi sebelum kita bersenam kita wajib mengenal musuh utama kita. Memang betul kita juga wajib mengurangkan gula tetapi  pembawa hormon gemuk yang menyamar  sebagai ayam ini wajib kita bogelkan rahsianya terlebih dahulu.

Serangan dari ayam ini cukup terancang. Mengikut laporan WHO, pada tahun 2004 anak-anak di Amerika semakin menggemuk telah bertambah 25% pada tahun 90'an berbanding hanya 6% ke 8% pada tahun 70'an. Di Brazil, gemuk juga telah menyerang kanak-kanak dengan nisbah yang hampir sama dengan tahap Amerika. Begitu juga di tanah besar China. Mengikut WHO, hampir 10 % anak anak sekolah dalam dunia ini sedang diserang oleh gemuk.

Sebelum kita semua memiliki badan seperti Begum dan Sahib, sebelum kita menjadi Ibu Ayam yang cuba mengajar anak-anak kita bersukan, wajiblah sang ibu dan sang ayah kuruskan diri untuk menjadi contoh tauladan. Tidak berguna sang ibu tergedik-gedik kehulu kehilir memberi nasihat itu dan ini - walhal gemuk sendiri tidak terurus.

Untuk permulaan saya hanya ada satu cadangan. Sila lihat matahari terbenam. Bayangkan dibawah matahari yang terbenam ini ialah Amerika Syarikat. Inilah negara yang membawa budaya 'makanan segera' dan 'budaya ayam goreng berhormon' yang sedang menggemukkan dunia hari ini.

Kemudian, sila lihat matahari terbit. Apabila nampak sang matahari, maka fikirkan negara Jepun dimana 'gemuk' kini dianggap sebagai 'jenayah'. Di Jepun, murid sekolah yang BMI tidak tepat tidak akan dapat masuk belajar. Mereka akan 'dikurung' sehingga tepat BMInya.

Akhirnya, bayangkan betapa indahnya dunia ini jika dipenuhi dengan Minah dan Mamat Slim. Betapa selesanya estetika kita apabila mata kita mengarah ke mana sahaja - yang kita lihat hanyalah Pak Cik Kurus dan Mak Cik Langsing.

How do you feel about this article?

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.