Advertisement

Parti PAS dan rock n’ roll

Beberapa bulan kebelakangan ini dunia siber heboh dengan berita penyanyi pop dan rock star berkalih tempat mencari makan. Heboh-heboh ini menjadi labon anak muda. Ada yang berkisah tentang penyanyi pop yang slim dan cun sekarang, sudah tembam dan gemuk. Maka telah sampai masa untuk memakai baju kurung agar dapat menyorokkan saiz badan.


Ada berita tentang rocker yang kacak dan ranggi kini kepala lutut sudah lembik. Ada kisah 'pop star' yang muncul mendadak menjadi 'top' dari realiti TV, kini sudah gemok dan tak laku lagi. Lalu menjadi Pak Lebai. Tetapi bukan ini yang ingin saya tuliskan. Bukan tentang peralihan padang untuk mencari makan. Atau kenapa yang vogue hari ini menjadi passe dan lemau dua bulan kemudian. Penyanyi rock masuk menjadi ahli Pas bukan perkara yang ingin saya kupas. Untuk saya hal ini tidak penting.


Apa yang saya anggap amat penting ialah peralihan dasar dalam parti Islam Pas. Ini kerana parti Islam ini adalah salah satu parti massa yang memiliki pengaruh yang amat kuat. Parti yang membawa agama sebagai lambang perjuangan ini bukan satu parti politik yang baru. Parti ini lahir dari perjuangan menentang penjajah British. Parti ini memiliki sejarah anti kolonial yang gagah berani.


Dalam politik kontemperori Malaysia, Pas sedang memainkan peranan yang amat penting. Pas bersama Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik sedang merencana satu ombak perubahan ke atas Malaysia. Tetapi untuk memahami Pas yang wujud hari ini, para pembaca wajib juga mengenal sejarah Pas yang lalu.


Sepuluh tahun dahulu - di era demonstrasi jalan raya - ketika anak muda berdemonstrasi untuk menyingkirkan Mahathir Mohamad, saya telah memperkenalkan teater jalanan atau 'street theatre'. Teater jalanan ini adalah satu genre seni melawan yang telah dikembangkan oleh anak-anak muda di zaman menentang perang Vietnam tahun 60'an dahulu. Bersama dengan teater jalanan, saya juga telah memperkenalkan apa yang dipanggil budaya 'agit-prop' - agitasi propaganda. Dua bentuk seni ini saya anggap adalah senjata tajam untuk memperluaskan ruang demokrasi di Malaysia.


Untuk memperkukuhkan bentuk seni melawan ini, saya telah mementas teater Tok Ampoo sebagai pemecah ruyung. Di era Reformasi - di zaman Mahathir Mohamad - bukanlah satu yang senang untuk mementaskan teater agitprop. Skrip dan lakonan tidak menjadi masalah. Puluhan anak muda dari kampus sekitar Kuala Lumpur telah bersedia untuk mengambil bahagian. Apa yang jadi masalah kami ialah dewan pementasan.


Adalah mustahil pada ketika itu untuk menyewa Dewan Serbaguna walau pun sepanjang tahun dewan-dewan ini kosong. Dewan-dewan hotel telah menutup pintu mereka. Akhirnya Tok Ampoo telah mendapat kebenaran untuk membuka tirai di Dewan Markaz Tarbiyah Pas di Taman Melewar. Kami telah dibenarkan untuk mementaskan Tok Ampoo selama 3 malam di Markaz Tarbiyah.


Malam pembukaan menjadi sejarah kerana inilah kali pertama Dewan Markaz Tarbiyah Pas menjadi pentas teater. Pementasan ini juga bersejarah, kerana saya telah difahamkan satu kumpulan 'orang buta' telah juga membeli tiket untuk mendengar pementasan ini. Pada malam itu sambutan untuk Tok Ampoo cukup mengegarkan. Tiket-tiket untuk malam seterusya telah dijual laris.


Petang esoknya, ketika team Tok Ampoo sedang bersiap untuk pementasan malam kedua - satu 'letupan bom' sampai. Markaz Tarbiah tidak membenarkan Tok Ampoo dipentaskan lagi di Dewan Tarbiyah. Saya terperanjat. Apakah kesilapan Tok Ampoo? Apakah kerana kami menyanyikan lagu Internationale? Tidak. Tidak ada sesiapa yang sedar bahawa ada terselit irama Internationale dalam Tok Ampoo.


Kami dilarang kerana ada pelakon wanita beraksi sama dalam teater cult klasik Tok Ampoo. Khalas. Pihak Markaz Tarbiyah tidak mahu berbincang lagi. Keputusan telah dibuat. No woman diatas pentas. Ini kata putus. Maka kami pun terpaksa memulangkan kembali duit tiket yang telah terjual.


Beberapa bulan kemudian, kumpulan Teater Bukan Teater telah dijemput sekali lagi untuk membuat persembahan seni di Dewan Markaz Tarbiyah. Kali ini 'fatwa' telah disampaikan lebih awal kepada kami. Fatwa mengatakan : Hanya lelaki sahaja dibenarkan naik ke pentas. Tidak ada gitar. Tidak ada alat muzik bertali yang boleh digunakan. Saya tidak menolak jemputan itu. Untuk terus bekerjasama dengan Malam Budaya Pas, kumpulan Teater Bukan Teater telah menggunakan gunakan baldi, tong drum, tin kosong, kayu penyapu untuk menjadi alatan musik. Persembahan kami tidak gagal pada malam itu. Pas telah mula membuka mata dengan budaya.


Naratif diatas adalah sejarah pandangan kolot Pas apabila berhadapan dengan seni dan budaya. Sebenarnya, bukan hanya Pas yang rabun seni dan buta budaya, ramai pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat juga rabun apabila berhadapan dengan bentuk bentuk seni. Malah ada ahli Exco dalam kerajaan Pakatan Selangor yang amat cetek pemahaman terhadap seni dan budaya. Untuk ahli Exco yang seorang ini, seni dan budaya hanya "rabbani dan rabbabni" - yang lainnya dia buta.


Kejulingan pandangan terhadap seni dan budaya ini adalah kerana sikap malas membaca dan malas mengkaji. Bebal budaya ini berlarutan dan terus mendalam apabila ada sikap menolak diri dari merayakan kehidupan dalam dunia yang wujud hari ini dan berharap akan dapat merayakan kehidupan dengan wanita bermata jeli sesudah mati.


Ramai yang tidak tahu bahawa gitar itu berasal usul dari bumi Arab. Ramai juga yang tidak tahu bahawa al-Kindi (800-873). ahli falsafah terulung yang dinobatkan sebagai Bapa Falsafah Arab dari Baitul Hikmah itu telah menulis 241 buah buku dalam bidang astronomi, ilmu hisab, geometri, perubatan, fizik, falsafah termasuk 7 buah buku mengenai teori dan penggunaan alatan muzik.


Kebebalan memahami seni budaya ini menjadi lebih meriah apabila seni budaya ini dikaitkan dengan maksiat. Seni dan budaya ini dilihat sebagai punca maksiat. Jalur yang menganuti mazhab bahawa seni budaya adalah maksiat tidak penah sedar bahawa Rock n Roll itu ialah pekikan perjuangan hamba abdi di Amerika. Suara laungan dalam Rock n Roll itu adalah suara penentangan hamba abdi terhadap Tuan Kulit Putih yang mengurung mereka. Rock n roll ialah budaya melawan kaum tertindas.


Mari kita kembali melihat apa yang telah berlaku didalam Pas kebelakangan ini. Saya merasakan lima atau enam tahun dahulu ada beberapa pemimpin Pas yang merasakan bahawa sokongan anak muda terhadap parti mereka semakin berkurangan. Untuk anak muda, parti ini diasosiasi dengan kolot dan jumud. Hanya anak muda yang poyo dan skema sahaja yang berdampingan dengan Pas. Anak muda yang cool akan melarikan diri dari Pas.


Pasti para pemimpin Pas ini berpendapat bahawa di era pasca moden, dengan wujudnya internet ini, janji syurga dan bidadari sahaja tidak dapat lagi menarik anak-anak muda. Anak muda memerlukan lebih dari janji-janji di syurga. Anak-anak muda perlu Rock n Roll. Justeru berlaku pencerahan dasar budaya yang kita lihat hari ini dalam Pas.


Pencerahan budaya dalam Pas ini amat penting. Jika Pas meneruskan dasar kolot vis a vis budaya, ianya amat bahaya untuk negara ini. Telah terbukti selama ini, parti politik yang kolot budaya, yang tidak memiliki dasar budaya yang segar akhirnya akan ditolak oleh rakyat. Tetapi, lebih dari ini akan berlaku di Malaysia. Jika tidak ada pencerahan budaya dalam Pas, jika Pas terus rabun seni budaya, maka ianya juga akan mempengaruhi United Malays National Organisation.


Sila rujuk apa yang berlaku pada tahun 80'an di Pakistan. Ini dizaman pertabiran Presiden Zia-Ul-Haq. Sang Jeneral yang jadi Presiden dengan merampas kuasa telah bertopengkan Islam. Justeru, dalam usaha untuk membuktikan ke-Islaman rejim militernya, Zia-Ul-Haq telah membunuh segala bentuk seni milik rakyat Pakistan. Qawali telah diharamkan, pemain gitar ditangkap, gitar dimusnahkan dan pelbagai bentuk kerja bodoh menumpaskan seni budaya telah dilakukan atas nama Islam.


Bayangkan, jika sinar pencerahan budaya tidak sampai ke dalam parti Pas, maka akan berlaku persaiangan hebat antara dua buah parti Melayu-Islam ini. Parti Islam SeMalaysia dan United Malays National Organsiation akan bersaing untuk menunjukkan parti mana yang lebih Islam. Dalam usaha parti-parti politik untuk membuktikan mereka lebih Islam, yang akan menjadi mangsa ialah tamadun dan bentuk-bentuk seni budaya bangsa. Sebagai contoh, kita melihat Mak Yong, Menora, Dikir, Konsert Rock, Musik, Bangsawan, Filem, Seni Pahat, Seni Tampak - akan menjadi mangsa.


Dengan ini apa yang kita baca atau kita dengar tentang penerimaan Pas terhadap penyanyi-penyanyi pop dan bintang rock ini, walaupun ada yang telah malap bintangnya adalah satu yang amat positif. Percerahan yang sedang berlaku didalam Pas pada tahap ini masih lagi budaya 'ceramah'. Justeru, cahaya percerahan ini wajib dibesarkan. Hidup bukan hanya untuk mendengar ceramah yang membosankan. Hidup ini adalah simpang siur yang memberahikan seperti petikan gitar XPDC.