Advertisement

Pecah berderai frus menonggeng

Pada 16 September 2011 yang lalu warga diseluruh negara ternanti-nanti. Mereka menantikan apakah berita yang akan dihebohkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Dua hari sebelum tarikh ini Najib Razak telah memberitahu seluruh negara bahawa di hari ulang tahun kelahiran Malaysia dia akan membuat satu pengumuman yang amat penting. Semua berdebar-debar menunggu apakah isi pengumuman ini.

Pada malam ulang tahun hari kelahiran Malaysia saya sedang berforum untuk menilai kembali sejarah kemerdekaan. Tetiba, sedang forum berjalan rancak di Dewan Sivik Petaling Jaya saya telah diberi satu nota ringkas: Najib telah mengumumkan pemansuhan ISA dan Akta Darurat. Dengan tangkas saya mengambil alat pembesar suara dan terus mengumumkan berita baik ini.

Pengumuan saya ini telah di disambut dengan tepokan gemuruh oleh 500 orang dalam dewan. Semua muka kelihatan tersenyum ceria dan gembira. Akhirnya tamat juga ISA/Akta Keselatan Dalam Negeri. Undang-undang ini adalah legasi peninggalan British yang telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1960 dahulu.

Akta ini adalah satu-satunya undang-undang yang terus ditentang oleh orang ramai tahun demi tahun semenjak ianya diperkenalkan. Banyak bantahan dari dalam dan luar negara telah diterima oleh kerajaan. Pada tahun 2009 dahulu satu tunjuk perasaan menentang ISA yang besar telah berjaya dianjurkan oleh Gerakan Mansuh Isa — GMI adalah sebuah Ngo yang bekerja untuk menghapuskan akta ini.

Akta ini ditentang kerana ISA dianggap satu undang-undang yang zalim dimana sesiapa sahaja boleh ditahan tanpa bicara. Tidak perlu dibuktikan tuduhan. Tidak perlu ada saksi. Semua penahan bergantung kepada budi bicara Menteri Dalam Negeri. Semenjak diluluskan hingga ke hari ini lebih dari 40,000 warga telah dipenjarakan dengan menggunakan ISA. Pelbagai sosok telah ditangkap oleh ISA. Ada pemimpin politik, aktivis politik, mahasiswa, pemimpin kesatuan buruh, guru agama — malah warga biasa juga telah ditahan sama. Ada yang ditahan hanya untuk beberapa hari. Ada yang ditahan dari dua tahun hingga belasan tahun.

Apabila saya membuat pengumuman pada malam itu saya betul-betul merasa gembira. Saya gembira kerana tidak akan ada lagi warga yang akan dipenjara tanpa pembicaran. Saya sendiri pernah menjadi mangsa akta ini. Pada bulan April 2001 saya telah ditangkap dan ditahan selama 2 tahun lebih. Saya telah mengalami betapa peritnya duduk dalam penjara. Bukan sahaja saya dinafikan kebebasan tetapi apa yang menaikkan kemarahaan ialah penahanan saya ini dijalankan hanya dengan tuduhan rambang, tanpa bukti dan tanpa di bawa ke mahkamah.

Petang 10 April 2001 — saya masih ingat lagi - saya sedang membuat terjemahan teater The Good Woman of Szechwan tulisan Bertolt Brecht. Teater garapan seniman German ini telah dirancang untuk diarahkan oleh Krishen Jit. Pintu pejabat diketuk kuat. Seorang pegawai polis beruniform dan dua orang dari Special Branch menerbus masuk ke bilik saya. Saya digari dan dibawa masuk ke dalam sebuah kereta Proton hijau. Saya di bawa ke Rumah Pasong Sentul dan dari sana mata saya ditutup untuk dibawa ke bilik tahanan sulit yang hingga hari ini saya tidak tahu dimana letaknya.

Selama dua bulan saya dikurung di bilik sulit. Setiap hari — pagi dan petang - saya disoal siasat. Saya ditanya berbagai-bagai soalan - dari zaman sekolah rendah hingga ke universiti. Dari kenalan kedai kopi hingga kawan-kawan yang sama-sama turun ke jalan raya berdemonstrasi.

Satelah dua bulan dikurung bersendirin saya dihantar ke Kem Tahanan Kamunting. Barulah saya tahu bahawa ketika saya di kurung dalam bilik sulit — Ketua Polis Negara telah menuduh saya memiliki rocket launcher, bom dan molotov cocktail. Ketika saya disoal siasat tidak ada langsung pertanyaan tentang senjata-senjata ini.

Apabila saya dibebaskan dua tahun kemudian saya selalu ditanya apakah perasaan saya ketika dalam tahanan. Saya hanya memberi satu jawapan: Saya tidak akan membenarkan musuh ketat saya ditahan di bawah ISA.

Sehari sesudah pengumuman Najib Razak tentang ISA , saya telah ditemu bual oleh sebuah akbar tempatan dan sebuah akhbar Australia. Si wartawan bertanyakan pandangan saya tentang ISA. Saya bukan ahli mana-mana parti politik justeru secara jujur saya katakan bahawa saya mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri itu.

Kenyataan saya tidak berlapik walau pun saya terbaca bahawa ada pemimpin parti politik yang mengingatkan warga Malaysia berwaspada agar jangan menerima bulat-bulat kenyataan Perdana Menteri ini. Menurut pandangan politikus dari Pakatan Rakyat mungkin kenyataan Najib ini hanya satu helah dan sebahagian dari strateji Barisan Nasional untuk memenangi kembali sokongan orang ramai. Di tambah pula demam pilihanyara telah mula sampai.

Dua minggu lalu pecah berita ISA telah digunakan sekali lagi untuk menangkap 11 orang warga negara yang dihebohkan sebagai pengganas Islam di Sabah. Sekali lagi ISA menjadi perbulan dan perbincangan umum. Perbincangan dan debat hebat telah berlaku di alam siber. Kutukan demi kutukan telah dihamburkan terhadap ISA. Malah Najib Razak sendiri telah dituduh sebagai pembohong.

Menteri Dalam Negeri Hishammudin Hussein membuat kenyataan. Sekali lagi menteri ini menggunakan hujah lama: ISA masih diperlukan untuk menentang keganasan. Manakala NGO dan badan-badan hak asasi mula mempersoalkan apakah Perdana Menteri Najib Razak berniat jujur apabila dia membuat pengumuan penghapusan ISA. Malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia — SUHAKAM — telah bertegang lidah dengan Menteri Dalam Negeri kerana Suhakam tidak bersetuju ISA masih digunakan lagi untuk menahan warga negara.

Keadaan bertambah buruk apabila Menteri Dalam Negeri mula membocorkan berita bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri ini akan digantikan dengan satu lagi akta yang berasaskan Patriot Act dari Amerika Syarikat. Cita-cita akta baru ini adalah sama sahaja seperti ISA yang ada sekarang. Tahanan tanpa bicara - yang menjadi kebencian orang ramai terhadap ISA akan diteruskan. Akta baru yang akan menggantikan ISA ini sedang digubal dan akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi.

Laporan berita yang terkini telah memeranjat warga seluruh negara. Menteri Dalam Negeri telah membuat kenyataan bahawa kerajaan Barisan Nasional bukan menyediakan satu undang-undang baru malah akan diwujudkan dua undang—undang untuk menggantikan ISA. Dari satu ISA kini Malaysia akan ada dua ISA.

Kini orang ramai telah mula berdesas-desus bahawa Malaysia telah kembali ke zaman Abdullah Badawi. Kalau di zaman Perdana Menteri Abdulah Badawi dahulu warga negara telah diberikan banyak janji-janji yang indah-indah dalam pilihanraya 2004. Contoh yang terbaik ialah penubuhan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia. Saya sendiri sebagai bekas tahanan ISA telah dipanggil oleh Suruhanjaya ini untuk memberi pendapat. Lebih dari 100 cadangan telah dibuat oleh Suruhanjaya ini untuk memperbaiki khidmat polis. Sayangnya sehingga Abdullah Badawi meletakkan jawatan tidak ada satu pun cadangan Suruhanjaya ini yang digunapakai.

Nampaknya pandangan yang meminta warga berwaspada telah terbukti tepat. Kini semakin ramai warga yang bersikap sinikal dan memperlekeh apa sahaja kenyataan dari menteri kerajaan. Orang ramai semakin jemu dengan janji—janji politik. Pak Menteri terus menabur janji untuk membuka luas ruang demokrasi dan kebebasan untuk warga Malaysia. Kini orang ramai telah mula melihat bahawa Najib Razak ini tidak banyak berbeza dari Abdullah Badawi - cakap tak serupa bikin.

Ramai rakyat yang hatinya kecewa pecah berderai. Ramai yang frus menonggeng kerana mengharapkan Najib Razak akan membuka ruang demokrasi tetapi hakikatnya ruang demokrasi diMalaysia semakin sempit. Ruang demokrasi terus disempitkan untuk memastikan kuasa yang ada akan terus berkuasa.