TAMU , IKAN , DAGING DAN SEKSUALITI

Kali ini aku melakukan sesuatu yang amat jarang aku lakukan.

Bangun pagi — di awal subuh. Ini bukan subuh biasa - ini subuh Ahad. Subuh Ahad ini biasanya aku masih enak berdengkur satelah berpesta pada hujung minggu. Subuh ini aku di Kuching, Sarawak. Jam 5 pagi aku telah bangun. Aku ingin menaiki pesawat udara dari Kucing ke

Miri. Aku wajib sampai seawal mungkin. Yang aku tuju ialah Tamu Miri.

Untuk warga Semenanjung jangan silap faham. Tamu ialah pasar. Bertamu ialah pergi ke pasar bukan menerima kawan dan sahabat sebagai tetamu. Apakah ini bahasa Iban , Kedayan, Bidayuh atau Kelabit - aku sendiri kurang arif. Apa yang aku arif ialah tamu di kota Miri adalah tamu yang paling istemewa untuk aku. Sepanjang perjalanan aku dalam dunia ini belum pernah aku melihat tamu yang bagitu menarik dan memeranjatkan seperti tamu kota Miri.

Ini kali kedua aku ke kota Miri.

Justeru aku tahu selok belok kota yang penduduknya kurang lebih 300,000orang ini. Kota ini adalah kota lumayan — bersih, tersusun dan permai. Di wilayah inilah pertama kalinya Shell menemui minyak pada tahun 1910. Kemudian pada tahun 1914 sebuah loji penapiasan minyak telah didirikan di Lutong.

Miri ialah kota minyak. Dari apa yang aku baca kota Miri ini telah dihancurkan oleh British apabila soldadu Jepun mula mendarat ke Borneo ketika Perang Dunia Kedua dahulu. Loji-loji minyak diletup musnah. Ini adalah strategi British untuk memastikan kuasa imperial Nippon tidak dapat menikmatibahan bakar petroleum yang amat penting untuk memenangi perang.

Sesudah perang — Miri didirikan kembali — justeru ianya menjadi kota pejalan kaki yang tersusun indah. Miri juga ialah kota sempadan. Dua jam memandu ialah pekan Limbang Brunei. Miri memiliki semua ciri-ciri kota sempadan. Kota yang kecil ini memiliki banyak bar, kelab karaoke dan disco. Hotel dan rumah tumpangan di sana sini. Cafe, kedai makan, restoran dan warung dapat dilihat di setiap jalan dan lorong.

Di Miri warga Brunei akan berhibur pada hujung minggu. Hujung minggu bermula dari petang Jumaat hingga ke Ahad. Kalau di Semenanjung Miri ini ialah Golok di mana warga Semenanjung boleh minum-minum tanpa diganggu. Boleh tidur-tidur tanpa Jawi atau Jais datang mengetuk pintu. Ketika hujung minggu ini Miri menjadi sibuk sekali. Warga Brunei datang 'bershopping' — entah apa barangan yang mereka cari. Tetapi mereka menjamin kemeriahan tamu-tamu di Miri.

Sebenarnya ada empat buah tamu dalam kota Miri. Semuanya berdekatan - boleh berjalan dari satu ke satu. Sebuah tamu khusus menjual sayuran moden, ayam dan daging babi. Satu lagi pasar ikan. Sebuah pasar yang menjual buah-buah, bunga dan barang-barang kering seperti beras bukit atau beras bario. Tamu keempat menjual bahan-bahan kering, sayuran dan juga barang-barang hutan yang dibawa khusus pada hujung minggu.

Tamu keempat inilah yang paling menarik untuk aku. Tamu ini menawarkan barang-barang — sayuran dan bahan makanan - dari hutan. Pasar sebegini tidak pernah aku temui di Semenajung. Dalam pejalanan aku dari kota ke kota — selain dari melawat muzium — aku mewajibkan diri aku untuk melihat pasar. Untuk aku pasar atau tamu mencerminkan gaya hidup, tamadun dan budaya warga kota itu.

Ketika aku di San Sebastian Sepanyol aku merumuskan bahawa warga Basque hidupnya lumayan hanya dengan melihat pasar sayur, pasar ikan dan daging dalam kota ini. Bagitu juga warga di Florence Itali. Pasar kota ini cukup lumayan. Di Belgium dan Peranchis apa yang wajib dilawati ialah Pasar Tani dari kota ke kota. Pasar tani Peranchis amat menarik — lumayan dengan pelbagai bahan makanan.

Dengan melihat jenis ikan, daging, ayam, itik , burung , keju, air anggur — aku akan dapat merumuskan bagaimana warga kota ini merayakan kehidupan. Warga German agak membosankan. Pasar Koln yang aku lawati hanya penuh dengan daging salai. Pasar kota Stockholm — bersih teratur - tetapi ini bukan bermakna warga Sweden 'kaki makan'.

Paling menarik ialah pasar ikan Tsukiji dalam kota Tokyo. Pasar ikan ini telah wujud semenjak tahun 1870-an lagi. Sesiapa melihat pasar ikan ini pasti sedar bahawa warga Jepun adalah sosok yang paling arif dalam hal ikan dan makanan laut. Aku terpaksa bersurah di sini bahawa pasar ikan Billingsgate kota London juga menarik walau pun Orang Inggeris tidak memiliki budaya masak dan makan seperti warga Peranchis.

Untuk aku masakan dan makanan tidak akan lari dari seksual. Aku merumuskan warga Perancis, Itali, Sepanyol dan warga Belgium adalah calon-calon kekasih yang romantik dan tidak akan mengecewakan. Manakala kekasih yang sejuk lagi membosankan pastilah Orang Inggeris dan Orang Jerman. Ini kerana budaya makan dan masakan German dan Inggeris cukup terhad. Jika mereka tidak tahu menikmati makanan — hanya pandai minum beer untuk mabuk - mana mungkin mereka akan romantik dan liar di atas katil.

Aku berani merumuskan bahawa warga Miri pastilah warga yang romantik. Aku membuat keputusan ini hanya setelah berkali-kali meleser dan melihat apa yang dipasarkan. Kali pertama awal tahun ini aku sampai ke pasar ini secara tidak sengaja. Aku sedang mencari umai — sejenis makanan ikan mentah orang Melanau.

Pada hujung minggu itu aku terserempak dengan tamu yang sedang dikerumuni oleh warga Brunei. Aku amat gembira dengan apa yang aku nampak dalam bangunan pasar yang agak luas ini. Ada terjual bahan-bahan kering seperti belacan, gambir, akar-akar kayu, rempah rampai, ragi, tanaman yang tidak pernah aku ketahui dan beberapa gerai menjual buah pisang.

Pasar dalam bangunan ini untuk aku menarik tetapi bak kata orang Peranchis 'pas spesial' — menarik tapi tidak memeranjatkan. Yang paling menarik ialah pasar terbuka di luar bangunan — di mana Mak Cik, Kakak, Nenek dan Abang meletakkan barang jualan mereka di atas tikar di tepi jalan. Mereka membawa barang dagangan dari hutan dan bukit. Mereka ini peniaga tidak berlesen yang datang berjaja hanya pada hujung minggu. Mereka menjual apa yang mereka temui dalam hutan dan bukit.

Di tamu ini mata aku terbuka apabila melihat sejenis sayur segar yang dipanggil midin. Ada pelbagai jenis dan warna. Midin ini adalah pucuk paku hutan yang dikutip khusus untuk dijual di tamu hujung minggu. Aku ternampak juga pelbagai kulat dan cendawan liar. Aku ternampak cendawan kelimimir, cendawan sawit dan cendawan kukur — kali akhir aku melihat cendawan kukur ini di Pasar Khadijah di Kota Bharu. Semua cendawan ini masih 'organic' ertinya dipungut liar dari hutan.

Mata aku tetiba terganggu apabila ternampak seorang Pak Cik sedang memotong seekor labi-labi. Aku hampiri untuk melihat apa lagi yang ada dalam gerai ini. Memang memeranjatkan. Gerai ini ada menjual daging babi hutan, ada ikan haruan hidup dan daging rusa.

Apa yang amat memeranjatkan aku ialah segulung daging ular sawa yang masih berdarah. Kakak tuan empunya gerai tersenyum apabila aku terperanjat melihat ketulan daging ular yang berbatik-batik. Di gerai ini aku membeli daging rusa sebagai ingat-ingatan lawatan pertama aku ke Miri.

Lawatan kali kedua ini kota Miri bukan lagi asing untuk aku. Pesawat aku sampai jam 8 pagi. Hampir jam 9 aku telah di hotel. Sepuluh minit kemudian aku telah menapak ke tamu. Memang tepat harapan aku — tamu pagi ini penuh sesak. Malah kali ini aku perhatikan lebih banyak tikar yang telah dibentang di atas jalan sebagai tempat lambakan barang jualan. Ada Mak Cik menjual buluh, Nenek menjual rotan, Pak Cik menjual segala macam jenis daun dan tumbuhan yang tidak aku kenali.

Aku mencuci mata — melihat dari satu tikar ke satu tikar — dari satu gerai ke satu gerai. Mata aku merakam untuk mencari barang hutan atau sayuran yang pelik-pelik. Ada Pak Cik menjual umbut sawit. Ada menjual beras gunung. Ada Kakak menjual beras huma, beras bario dan beras wangi dari Kelabit. Aku tersua dengan Pak Cik menjual umbut kelapa. Umbut kelapa amat susah dan jarang aku temui — lalu aku membelinya.

Tetiba tanpa aku sedari aku sampai kembali ke gerai si Kakak penjual labi-labi. Wow! Masih ada dua ekor labi-labi berenang dalam besen plastik. Kali ini aku lihat si Kakak ini ada ikan puyu, satu tong ikan haruan dan satu tong ikan keli. Ikan puyu ini agak susah untuk didapati di Semenanjung. Kalau kita perhatikan dengan rapi kita akan percaya bahawa puyu ini masih hidup dalam zaman Jurasik. Ikan puyu boleh hidup tanpa air untuk sehari dua. Justeru Orang Melayu mengkaitkan ikan puyu ini dengan hantu dan pontianak.

Kepada Kakak penjual labi-labi ini aku bertanyakan daging rusa. Dia menggeleng kepala. Daging babi hutan ada. Kemudian dia menunjukan satu bungkusan plastik yang telah dipenuhi dengan ketulan daging — ini daging biawak. Wow! tak pernah aku melihat daging biawak di pasar. Kakak ini ingin menjualnya kepada aku. Aku hanya tersenyum.

Aku menapak lagi lalu bertemu sepasang suami isteri sedang menjual ulat sagu. Ulat ini putih , gemuk dan berkepala hitam. Aku telah banyak mendengar surah tentang ulat sagu ini yang dikatakan memiliki khasiat kejantanan. Inilah contoh makanan yang diasosiasikan dengan seksual. Aku bercadang untuk membeli tetapi aku batalkan kerana pastilah ulat-ulat ini akan mati dalam penerbangan pulang.

Di sebelah tikar ulat sagu ialah tikar miliki seorang Nenek yang sedang menjual ketulan daging dalam bungkusan. Aku bertanya apa dalam bungkusan. Jawapannya sama — daging biawak. Nampaknya kali ini memang banyak daging biawak dalam pasar. Lalu aku bertanya kenapa. Nenek itu menerangkan apabila musim hujan banyak biawak keluar dan amat senang untuk ditangkap. Lalu aku teringat, aku juga pernah memakan sup biawak pasir ketika aku di Pakistan. Ini juga makanan yang dikatakan akan membantu kejantanan. Tetapi kari biawak masih belum aku cuba lagi.

Kemudian aku ternampak seorang Kakak yang sedang menjual ketulan daging yang telah dibungkus. Aku yakin ini bukan daging biawak kerana bungkusan agak besar. Bila aku bertanya daging apa — si Kakak menjawab daging payau. Bila aku tanyakan daging rusa ada atau tidak — si Kakak tersenyum kerana rahsia aku dari Semenanjung terbuka. Rusa untuk Orang Semenanjung — payau untuk Orang Sarawak — dua-dua daging ini daripada binatang yang sama. Aku membeli satu kilo daging rusa.

Telah hampir dua jam aku di tamu. Aku ingin berundur tetapi mata aku bertembung dengan pameran buah-buah hutan yang belum pernah aku lihat. Aku dapat mengenali buah perah. Aku kenal buah keranji tetapi buah-buah hutan di pasar Miri ini memang tidak pernah aku lihat.

Sejenis buah berwarna hitam - sebesar buat zaiton namanya Dabai. Ada satu satu lagi bulat seperti putik manggis yang memakai topi German. Buah ini dipanggil Engkalat. Dalam bahasa Kedayan ini buah Panglaban. Aku diberitahu buah-buah ini hanya perlu direndam sebentar dalam air panas kemudian boleh dimakan seperti kita makan kacang rebus. Aku membeli kedua jenis buah ini. Semua ingin aku cuba.

Petang esoknya aku sampai kembali ke Semenanjung. Daging rusa terus aku masukan ke dalam peti air batu. Aku kecewa Dabai dan Engkalat rosak. Engkalat menjadi lembik dan Dabai menjadi keras. Aku gagal lagi. Nasib baik aku tidak membeli ulat sagu walau pun aku diberitahu selain dari gambir Sarawak, ulat sagu ini juga boleh membantu kejantanan aku yang selama ini gagal. END