
3 Ogos – Hotel Sunway merupakan salah satu tempat yang sangat popular dan menjadi pilihan ramai apabila mahu berbuka puasa dengan menawarkan buffet dengan variasi menu untuk dipilih.
Dengan harga yang berpatutan iaitu RM68 untuk dewasa dan RM34 untuk kanak-kanak berumur enam hingga dua belas tahun, menu buffet bertukar pada setiap hari.
Pada tahun ini, buffet yang diadakan di tingkat empat Pusat Konvensyen Karnival Sunway di Pusat Membeli-belah Karnival Sunway lebih meriah dengan lebih banyak juadah akan disediakan bersama dengan 12 jenis minuman.
Chef eksekutif Hotel Sunway Seberang Jaya, Ismail Ibrahim serta chef lain akan menyediakan masakan Melayu tradisional dengan sedikit gaya Barat. Antara masakan popular ialah kari kepala ikan yang dimasak menggunakan yogurt.
Masakan lain yang turut menjadi kegemaran ramai adalah seperti kambing panggang berlada hitam dan bersoskan pudina, ayam masak kalio, udang tiga rasa, pasembur dengan ubi, rojak buah, jeruk, telur masin, gado-gado, salad daging Thai, dan sotong yang dimasak dengan kangkung dan sos rojak.
Untuk tahun ini, pelanggan yang berbuka puasa di Hotel Sunway berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah dimana hadiah utama adalah berupa penginapan 4 hari 3 malam di Hotel Sunway Hanoi, Vietnam termasuk penerbangan pergi balik bernilai RM2,000.
Hadiah kedua pula adalah sebuah penginapan di Hotel Sunway Pyramid di Petaling Jaya selama 2 hari, 1 malam, manakala mereka yang memenangi hadiah ketiga akan menginap di Hotel Tambun Lost World di Perak berserta tiket ke Kolam Air Panas Tambun.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 04-370 7788 atau lihat sahaja profail Hotel Sunway Seberang Jaya di laman Facebook.
