Bumiputera tiada kualiti, bukan sektor swasta tutup peluang, kata penganalisis

Kualiti adalah punca kebanyakan Bumiputera tidak banyak berada dalam sektor swasta, kata penganalisis ekonomi, serta menegaskan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) bahawa Bumiputera tidak diberi peluang adalah menyimpang.

Penganalisis ekonomi yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, Putrajaya sewajarnya menumpukan kepada aspek meningkatkan kualiti Bumiputera dan membuang sikap kebergantungan kepada bantuan kerajaan semata-mata.

"Contohnya dalam perkhidmatan awam yang hampir majoritinya Bumiputera, di manakah hasilnya?

"Kamu boleh lihat sendiri bagaimana mereka bekerja, adakah ia berkualiti?" kata Fellow Kanan Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui.

Lim berkata, sektor swasta bukan tidak memberi peluang kepada Bumiputera, tetapi faktor seperti kemampuan pekerja dan kualiti yang akan dihasilkan sering tidak dapat memenuhi kehendak majikan.

"Saya lihat mereka yang banyak mengganggur ini, salah satu sebabnya adalah mereka tidak boleh dan tidak mempunyai kualiti," katanya.

Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng, berkata sektor swasta mementingkan meritokrasi bukan menutup peluang kepada Bumiputera seperti yang dikatakan oleh menteri tersebut.

"Sektor swasta lebih fokus kepada meritokrasi, ini adalah kebiasaan yang berlaku.

"Persoalannya di sini bukan menutup peluang tetapi adakah wujudnya diskriminasi," kata Yeah yang tidak bersetuju dengan pandangan mengatakan sektor swasta menutup peluang.

Yeah berkata, Putrajaya perlu mengambil langkah yang lebih proaktif terutama dengan memastikan keseimbangan kaum dalam sektor perkhidmatan terlebih dahulu sebelum menyalahkan sektor swasta sebagai punca Bumiputera masih ketinggalan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan.

"Kerajaan perlu lebih prihatin dalam menawarkan peluang bagi sektor perkhidmatan supaya ia lebih menarik.

"Perlu wujudkan kepelbagaian etnik dalam tenaga kerjanya, apabila ia wujud barulah ia dapat memberi hasil terbaik kepada negara, bukan hanya kepada Bumiputera," katanya.

Sehingga Mei 2013, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa mendedahkan jumlah penjawat awam yang majoritinya Bumiputera adalah seramai 1.42 juta orang.

Dalam wawancara bersama akhbar The Edge yang disiarkan pada Isnin, Abdul Wahid mempertahankan agenda memperkasakan Bumiputera dengan menyalahkan pihak swasta dan mengatakan ramai pihak tersalah tafsir terhadap program pemerkasaan Bumiputera itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan pelan pemerkasaan ekonomi Bumiputera, baru-baru ini. Gambar fail.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan pelan pemerkasaan ekonomi Bumiputera, baru-baru ini. Gambar fail.

Abdul Wahid juga menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpatah balik daripada Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkannya pada 2010.

"Apa yang saya cuba katakan ialah wujud banyak peluang dalam sektor swasta tetapi malangnya banyak ahli perniagaan Bumiputera dan profesional merasakan mereka tidak diberi peluang yang adil dalam sektor swasta. Sebagai contoh, hanya sebilangan kecil Bumiputera di peringkat pengurusan atasan," katanya.

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking (Maybank) Berhad itu, program pemerkasaan Bumiputera bertujuan memberikan peluang yang seimbang meliputi semua jenis perniagaan.

"Ini bagi memastikan Bumiputera mendapat peluang yang adil," katanya.

Baru-baru ini Najib melancarkan program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang menggariskan lima teras iaitu meningkatkan daya modal insan, memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.

Namun, pakar ekonomi terkenal Prof Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff menegaskan bantuan kewangan berasaskan kaum dan rancangan memperkasa Bumiputera akan tersasar matlamatnya seperti polisi terdahulu. – 2 Oktober, 2013.