KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi
Pendidikan (Page) mencadangkan agar pihak sekolah menetapkan waktu
tertentu untuk ibu bapa mengambil Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100.
Pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata terdapat dua waktu
paling sesuai untuk ibu bapa berbuat demikian iaitu ketika ibu bapa menghantar
dan mengambil anak mereka dari sekolah iaitu antara pukul 7.30 pagi hingga 8.30
pagi dan 2.00 petang hingga 3.00 petang.
Beliau memberitahu Bernama pihak sekolah juga boleh memberi kebenaran
kepada pelajar untuk mewakili ibu bapa masing-masing.
"Pelajar boleh kemuka borang kebenaran ibu bapa untuk mengambil wang
tersebut," katanya.
Seorang bapa, Mohd Nasarudin Mohd Adib mencadangkan agar agihan dibuat pada
hari Sabtu dan Ahad.
-- LAGI
PAGE-BANTUAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Ini tidak mengganggu waktu kerja ibu bapa, katanya.
Pensyarah kolej swasta, Sarimah Ismail berkata waktu pemberian perlu
dipanjangkan hingga petang.
Beliau berkata agak sukar ibu bapa datang mengambilnya untuk tempoh yang
terhad.
Bantuan yang diagih secara berperingkat sejak semalam merupakan kali
kedua diberikan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak menerusi Belanjawan 2013.
Sejumlah RM498 juta diperuntukkan untuk diagih kepada 4.98 juta pelajar di
seluruh negara.
-- BERNAMA
NHAL AKT HM

